TROFI PIALA MALAYSIA MILIK JDT
Johor Darul Ta’zim (JDT) menamatkan cabaran Kuching City FC dengan kemenangan 2-0 pada aksi final Piala Malaysia 2025/2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil sekali gus menambah lagi koleksi trofi mereka musim ini.
Xisco Munoz menurunkan kesebelasan utama terbaik diketuai Bergson di bahagian serangan bersama Marcos Guilherme, manakala Kuching City membuat kejutan apabila Ronald Ngah Wanja hanya bermula di bangku simpanan.
JDT mengawal tempo permainan sejak awal menerusi hantaran pendek dan penguasaan bola, namun Kuching City tetap memberi tekanan melalui serangan balas pantas setiap kali berjaya merampas bola.
Marcos Guilherme hampir membuka jaringan seawal minit kelapan tetapi percubaannya berjaya disekat pertahanan Kuching City, Yuki Tanigawa.
Tiga minit kemudian, Bergson berjaya menjaringkan gol namun dibatalkan pengadil selepas berlaku kekasaran terhadap Rodney Celvin sebelum jaringan terhasil.
Selepas beberapa percubaan gagal, Marcos akhirnya memecah kebuntuan pada minit ke-80 menerusi rembatan menarik yang menewaskan penjaga gol Kuching City untuk meletakkan JDT di depan.
Arif Aiman Hanapi yang kembali beraksi selepas berehat panjang akibat kecederaan kemudian mencuri perhatian apabila meledak jaringan kedua JDT menjelang tamat perlawanan.
Kuching City sempat menghasilkan gol menerusi Stuart Wilkin tetapi dibatalkan kerana Yago berada dalam kedudukan ofsaid, sekali gus memastikan kemenangan 2-0 kekal sehingga wisel penamat dan menghadiahkan trofi keenam buat Harimau Selatan.