OLIMPIK LA 2028 TAWAR HARGA TIKET SERENDAH RM132
Sukan Olimpik Los Angeles 2028 mula memasuki fasa penting apabila jualan tiket kepada orang ramai dijadualkan bermula 9 April ini, dengan pelbagai pilihan harga ditawarkan kepada peminat sukan di seluruh dunia.
Sebelum itu, fasa jualan awal akan diberikan kepada penduduk terpilih di sekitar Los Angeles dan Oklahoma City bermula 2 April, dengan notifikasi dihantar secara berperingkat kepada pembeli yang layak.
Seterusnya pada 7 April, baki pendaftar akan mengetahui sama ada mereka berjaya mendapatkan slot pembelian bagi pusingan pertama jualan awam yang dikenali sebagai “Drop 1”.
Menariknya, penganjur menyediakan kira-kira satu juta tiket dengan harga serendah AS$28 (sekitar RM132), menjadikannya antara tawaran paling mampu milik dalam sejarah penganjuran Olimpik.
Secara keseluruhan, hanya sekitar lima peratus tiket dijual pada harga premium melebihi AS$1,000, manakala sebahagian besar tiket ditawarkan pada harga lebih rendah bagi memastikan akses lebih meluas kepada peminat.
Lebih 75 peratus tiket termasuk bagi acara final dijual di bawah AS$400, sementara hampir separuh lagi boleh didapati dengan harga bawah AS$200.
Dalam masa sama, penganjur turut merancang untuk memperkenalkan platform jual semula rasmi bermula 2027 bagi menjamin keselamatan transaksi dan mengelakkan penipuan.
Platform seperti Ticketmaster dan Sports Illustrated Tickets antara yang dinamakan sebagai rakan jual semula sah, selain penglibatan AXS dan Eventim sebagai pasaran sekunder rasmi.
Seiring dengan pengumuman ini, peminat turut diingatkan agar tidak mendapatkan tiket daripada penjual tidak sah sebelum sistem jual semula rasmi dilancarkan.