ISU PENYUDAH BUATKAN HARIMAU MALAYA KEMPUNAN DI VIETNAM
Pengendali skuad negara, Peter Cklamovski mengakui kekalahan kepada Vietnam menjadi peringatan penting buat Harimau Malaya untuk memperbaiki aspek paling kritikal dalam permainan.
Menurutnya, perlawanan tersebut memperlihatkan jurang utama antara kedua-dua pasukan, khususnya dari segi ketajaman di hadapan gol walaupun Malaysia mampu mencipta beberapa peluang berkualiti.
Beliau menjelaskan, pemain menunjukkan reaksi positif dan disiplin yang baik sepanjang permainan, namun kegagalan menyempurnakan peluang menjadi faktor yang merencatkan usaha pasukan untuk mendapatkan keputusan lebih baik.
“Pemain beri maklum balas yang bagus dan kita ada beberapa detik penting, tetapi kita tidak memanfaatkannya dengan sebaik mungkin,” katanya selepas tamat perlawanan.
Tambahnya lagi, situasi itu jelas menunjukkan betapa pentingnya kecekapan dalam penyudah, terutama apabila berdepan pasukan yang pantas menghukum kesilapan.
Cklamovski turut menegaskan bahawa perkara ini bukan sekadar isu teknikal, tetapi memerlukan peningkatan dari segi ketenangan dan keyakinan pemain ketika berada di hadapan gol.
Kekalahan tersebut juga mengekalkan rekod kurang memberangsangkan Malaysia di Vietnam, sekali gus menuntut penilaian menyeluruh terhadap prestasi pasukan.
Dalam masa sama, beliau melihat perlawanan itu sebagai peluang pembelajaran penting untuk skuad negara memperbaiki kelemahan yang ada.
“Ini satu proses. Kita perlu belajar dan jadi lebih baik daripada situasi ini,” jelasnya.