TERKANDAS DI MALAYSIA, TAK MAMPU BAYAR SEWA

Gambar utama TERKANDAS DI MALAYSIA, TAK MAMPU BAYAR SEWA

Dunia bola sepak Kedah dikejutkan dengan pendedahan menyayat hati daripada bekas bintang importnya, Nelson San Martin, yang kini mendakwa sedang melalui fasa paling gelap dalam hidupnya. Melalui satu luahan terbuka, Nelson mendedahkan bahawa beliau kini dalam keadaan terdesak untuk meneruskan kelangsungan hidup dan menyara keluarganya selepas tidak menerima sebarang bayaran gaji sejak Januari lalu. Beliau yang menandatangani kontrak baharu bersama Kedah Darul Aman (KDA) FC pada November 2025, mendakwa kini 'terkandas' di Malaysia tanpa sebarang komunikasi atau sokongan daripada pihak pengurusan kelab.

Nelson menceritakan bahawa kali terakhir beliau menerima sebahagian kecil daripada gajinya adalah pada 10 Januari yang lalu. Apa yang lebih memilukan, tuntutan ini bukan sahaja melibatkan kontrak baharunya, malah beliau mendakwa masih terdapat tunggakan gaji dari kontrak terdahulu yang masih belum dilunaskan. Beliau menyifatkan situasi ini sebagai satu mimpi ngeri kerana setiap usaha untuk menghubungi pihak kelab menemui jalan buntu, malah mendakwa tiada lagi pejabat fizikal yang boleh dikunjungi untuk beliau merayu atau mendapatkan penjelasan tentang nasibnya.

Beban yang digalas Nelson kini berada di tahap kemuncak apabila beliau turut berdepan dengan isu perundangan yang serius di tanah airnya, Chile. Akibat tidak dibayar gaji, Nelson mengakui kini hidup dalam keadaan lumpuh dan tidak mampu menyediakan keperluan asas buat keluarganya, termasuk kegagalan membayar sewa rumah. Beliau yang selama ini memendam rasa demi maruah dan rasa cinta kepada Kedah, terpaksa menebalkan muka memohon bantuan orang ramai kerana sudah tidak mampu lagi menghadapi penderitaan ini sendirian sebagai seorang ketua keluarga.

Di sebalik kegelapan yang menimpa, Nelson merakamkan ucapan terima kasih yang tidak terhingga kepada kelab penyokong dan rakan-rakan terdekat yang banyak membantu kelangsungan hidupnya ketika ini. Walaupun berstatus pemain asing, beliau menganggap Malaysia sebagai rumahnya dan tetap menyimpan hasrat untuk terus berbakti kepada bola sepak Kedah dalam kapasiti sebagai jurulatih sekiranya kemelut ini selesai. Beliau menegaskan bahawa segala pengorbanan dan kesabaran yang ditunjukkan selama ini adalah bukti betapa besarnya rasa hormat beliau terhadap negeri Jelapang Padi itu.

Sebagai jalan terakhir, Nelson merayu agar pemilik kelab, Tan Sri Dr. Mohd Daud Bakar, dapat menghubunginya untuk menyelesaikan kemelut ini secara bermaruah dan penuh rasa hormat. Beliau hanya menuntut haknya sebagai pekerja agar dapat memberi kehidupan yang layak buat keluarganya. Luahan ini berakhir dengan nota sayu apabila beliau terpaksa menyertakan kod QR Touch 'n Go sebagai talian hayat buat sesiapa yang sudi membantu.