Perpindahan Antony ke Real Betis Masih Kusut!
Kisah perpindahan Antony dari Manchester United ke Real Betis terus jadi tumpuan, tapi sampai masuk September… masih tak selesai.
Awalnya, Betis cukup yakin boleh dapatkan penyerang sayap Brazil itu dengan harga murah. Mereka sengaja lengah-lengahkan rundingan sepanjang musim panas, kononnya mahu tunggu saat akhir untuk tekan United terima tawaran rendah.
Lagi senang untuk mereka sebab Antony sudah pun disingkirkan ke “bomb squad” oleh United. Ajaibnya, ejen pemain pun macam tak agresif walaupun bintang berusia 25 tahun itu ada impian nak ke Piala Dunia – kini masuk bulan sembilan tanpa pra-musim dan tanpa sebarang minit permainan.
Betis kemudian hantar delegasi besar-besaran ke Manchester hujung Ogos lalu – termasuk CEO Ramón Alarcón, pengarah sukan Manu Fajardo dan setiausaha teknikal Álvaro Ladrón de Guevara. Tapi peliknya, cerita kononnya “deal sudah siap” yang bocor di media UK Jumaat lepas langsung tak kedengaran di media Seville yang biasanya cepat hidu berita dalaman kelab.
Tak lama lepas tu, Betis sendiri sahkan tiada persetujuan dicapai, malah tawaran ditarik balik. Tawaran asal difahamkan bernilai €25 juta plus 50% keuntungan jualan masa depan – angka yang dilaporkan sebagai bajet maksimum Betis.
Masalahnya, menurut ABC Sevilla, selepas ada persetujuan kasar pada €25 juta, United pula minta Betis tanggung tambahan €6 juta. Duit itu dipercayai berkaitan baki kontrak Antony di Old Trafford (gaji dua tahun terakhir lebih tinggi dari apa dia bakal dapat di Sepanyol) serta mungkin melibatkan komisen ejen.
Langkah United untuk “bocorkan” kononnya perjanjian sudah selesai sebagai taktik tekan Betis jelas makan diri. Betis tegas tak akan sambung tawaran selagi United dan Antony tak selesai isu €6 juta itu.
Jurulatih Manuel Pellegrini masih akui dia mahu Antony sertai pasukan, tapi masa sama, Betis sudah mula intai alternatif lain. Media tempatan pula menyindir: “Bila rundingan dah hampir muktamad, semuanya hancur gara-gara butiran kecil bayaran kepada pemain yang United cuba lepaskan pada Betis… sesuatu yang Betis memang mustahil nak tanggung.”
Walaupun Betis kata bukan sebab kedekut tapi terikat dengan peraturan kewangan La Liga, hakikatnya mereka tetap belanja sekitar €40 juta musim panas ini untuk tujuh pemain baru. Kalau rundingan Antony dimulakan awal musim, mungkin ada ruang untuk tampung sebahagian €6 juta itu.
Buat masa ini, Antony masih tergantung tak bertali – United tak boleh jual, Betis tak mampu beli.