MARCOS LEONARDO MUNCUL CALON GANTI SALAH
Nama penyerang Al-Hilal, Marcos Leonardo kini dikaitkan dengan perpindahan besar ke Liverpool FC, sekali gus mencetuskan spekulasi baharu di jendela perpindahan.
Perkembangan itu dilaporkan wartawan terkenal, Ekrem Konur yang mendedahkan pemain berusia 22 tahun tersebut berada dalam radar The Reds sebagai antara pilihan untuk menggantikan Mohamed Salah.
Sebelum ini, beberapa nama lain lebih dahulu dikaitkan dengan kelab Merseyside itu termasuk Michael Olise, Yan Diomande, Bradley Barcola dan Francisco Conceicao.
Namun, usaha mendapatkan pemain-pemain tersebut bukan mudah apabila Liverpool dilaporkan berdepan kekangan dari segi nilai perpindahan yang tinggi selain keengganan kelab asal untuk melepaskan bintang mereka.
Situasi itu turut menjadi lebih rumit apabila beberapa nama seperti Diomande dan Conceicao turut menarik minat kelab gergasi lain seperti Manchester United, Real Madrid dan Chelsea FC.
Dalam keadaan itu, Leonardo dilihat sebagai alternatif lebih realistik untuk memperkuat jentera serangan sekiranya Salah benar-benar meninggalkan Anfield.
Sejak menyertai Al-Hilal dari SL Benfica pada 2024, pemain muda Brazil itu menunjukkan prestasi memberangsangkan dengan 45 gol dan lima bantuan jaringan daripada 73 penampilan.