Minta Peminat Sabar

Gambar utama Minta Peminat Sabar

Arne Slot Puji Isak “Mungkin Penyerang Terbaik Dunia” – Tapi Minta Peminat Sabar.

Pengurus Liverpool, Arne Slot, mengingatkan penyokong The Reds supaya bersabar dengan penyerang baru bernilai £125 juta (RM736 juta), Alexander Isak, walaupun beliau disifatkan “mungkin penyerang terbaik dunia”.

Isak, 25, yang dibeli dari Newcastle United pada hari terakhir jendela perpindahan dengan rekod British, belum lagi turun beraksi untuk kelab musim ini selepas terlepas hampir keseluruhan pramusim.

Gambar tambahan untuk artikel

Slot menegaskan Isak tidak akan terus diberi 90 minit penuh dalam setiap perlawanan kerana perlu dibina semula tahap kecergasan selepas “hilang” hampir empat bulan sesi bersama pasukan.

“Dia pemain kelas dunia, mungkin yang terbaik sekarang. Tapi kami perlu bijak. Jangan harap dia akan terus main 90 minit setiap perlawanan. Dia perlu dibina secara berperingkat,” jelas Slot.

Liverpool sebelum ini turut cuba membawa masuk pertahanan England, Marc Guehi, dari Crystal Palace tetapi rundingan runtuh di saat akhir. Bagaimanapun Slot tetap berpuas hati kerana berjaya mendapatkan Isak, yang dianggap pembelian terpenting mereka musim panas ini selepas berbelanja lebih £400 juta keseluruhan.

Isak baru-baru ini hanya beraksi sebagai pemain gantian untuk Sweden dalam kelayakan Piala Dunia menentang Slovenia dan Kosovo - dan Slot memuji pengurus negaranya, Jon Dahl Tomasson, kerana menguruskan minit permainan penyerang itu dengan penuh cermat.

Mengenai kritikan yang diterima Isak kerana mendesak keluar dari Newcastle walaupun masih berbaki tiga tahun kontrak, Slot tenang menjawab:

“Itu normal dalam bola sepak. Kadang-kadang anda dipuja selepas menang piala dan kadang-kadang dikritik kerana keputusan yang dibuat. Sekarang dia pemain Liverpool dan saya gembira dengannya.”

Liverpool kini mengintai rekod kejuaraan liga Inggeris ke-21 dan telah menang kesemua tiga perlawanan awal musim. Slot mengakui sedikit kecewa gagal dapatkan Guehi, namun yakin barisan pertahanan sedia ada masih cukup ampuh untuk cabaran domestik dan Eropah.