MFL x EFOOTBALL: LIGA SUPER KINI RASMI DI DUNIA DIGITAL
Teka-teki akhirnya terjawab di mana hari ini menyaksikan perasmian rasmi kolaborasi MFL x eFootball, menandakan permulaan kerjasama antara MFL dan Konami untuk membawa Liga Malaysia ke pentas permainan digital.
Sebelum ini, desas-desus mengenai kemunculan Liga Super Malaysia dalam eFootball telah lama hangat diperkatakan. Beberapa tangkap layar yang dikongsi pencipta kandungan komuniti, Texoor, memperlihatkan data dalaman permainan, termasuk logo kelab utama seperti Johor Darul Ta’zim FC, Selangor FC, PDRM FC dan Kuching City FC. Model pemain juga kelihatan menyerupai bintang sebenar seperti Samu Castillejo (JDT) dan Faisal Halim (Selangor FC) lengkap dengan jersi rasmi pasukan masing-masing.
Kini, dengan pengumuman rasmi, semua spekulasi itu terbukti benar.
Kerjasama ini bukan sahaja memberi peluang kepada kelab tempatan menembusi arena global, tetapi juga membolehkan peminat mengawal pasukan kegemaran mereka dalam eFootball dengan lebih interaktif.
Projek ini dijangka meningkatkan keterlihatan Liga Malaysia di peringkat antarabangsa, sekali gus membuka dimensi baharu untuk penyokong bola tempatan menyokong kelab kegemaran mereka dalam dunia digital.