KL CITY PECAH REKOD SENDIRI

Gambar utama KL CITY PECAH REKOD SENDIRI

Kuala Lumpur City FC terus mencuri tumpuan dalam saingan Liga Super 2025/26 apabila berjaya mencipta rekod baharu kelab hasil prestasi konsisten sepanjang musim.

Selepas mengharungi 22 perlawanan, The City Boys kini menghuni tangga keempat liga, satu pencapaian yang cukup membanggakan di bawah kendalian Risto Vidakovic.

KL City tampil dengan corak permainan berdisiplin dan penuh karakter setiap kali turun ke padang, meskipun kerap berdepan pasukan yang berada lebih tinggi dalam carta.

Terbaharu, mereka mencatat kemenangan bergaya 2-0 ke atas Kelantan TRW di Stadium Sultan Muhammad Ke-IV, hasil jaringan Kpah Sherman dan Safawi Rasid.

Keseimbangan di setiap posisi menjadi kunci kekuatan KL City musim ini. Kehadiran pemain berpengaruh seperti Safawi, Sherman serta penjaga gol Quincy Kammeraad jelas memberikan kestabilan dan suntikan motivasi kepada pasukan.

Menurut kenyataan rasmi kelab di platform X, KL City kini mencatat pungutan mata tertinggi sejak musim 2021, “Perkembangan ini jelas dapat dilihat. Angka-angka membuktikannya. Kuala Lumpur City FC telah mengumpul 42 mata setakat ini dan masih berbaki tiga perlawanan". 

Seterusnya, The City Boys bakal berdepan ujian getir apabila dijadualkan menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Sultan Ibrahim pada 2 Mei ini.