MALAYSIA MARA KE SEPARUH AKHIR KEJUARAAN B-17 ASEAN
Malaysia menutup kempen Kumpulan A Kejuaraan B-17 ASEAN dengan langkah kanan apabila menewaskan Timor Leste 2-0 dalam aksi terakhir, sekali gus mengesahkan kemaraan ke separuh akhir.
Turun dengan misi wajib menang, skuad B-16 negara kendalian Shukor Adan mempamerkan permainan tersusun dan penuh disiplin sejak wisel pertama.
Pendekatan agresif itu membuahkan hasil awal apabila pemain tengah, Aniq Thaqif membuka jaringan seawal minit ke-8 hasil gerakan kemas yang memecah benteng pertahanan lawan.
Gol tersebut menyuntik keyakinan Malaysia untuk terus menguasai perlawanan dengan kawalan bola yang lebih dominan sepanjang babak pertama.
Timor Leste cuba bangkit mencari gol penyamaan, namun kekentalan barisan pertahanan Malaysia berjaya mengekang setiap percubaan berbahaya.
Memasuki separuh masa kedua, Malaysia tidak menunggu lama untuk menjarakkan kedudukan apabila Adam Haikal meledak gol kedua sejurus permainan bersambung.
Jaringan itu jelas merencatkan momentum Timor Leste yang dilihat semakin bergelut untuk mencipta peluang berkualiti selepas itu.
Keputusan 2-0 di Stadium Gelora Joko Samudro memastikan Malaysia mengutip enam mata dan menamatkan saingan di tangga kedua Kumpulan A, sekali gus melangkah ke separuh akhir dengan penuh keyakinan.