Jenama Giorgio Armani Bakal di Senaraikan di Bursa, Menurut Wasiat Pengasas
Giorgio Armani SpA, berkemungkinan menyaksikan perubahan besar dalam struktur pemilikan selepas kematian pengasasnya, Giorgio Armani, minggu lalu pada usia 91 tahun.
Menurut dokumen wasiat yang dilaporkan Reuters, pereka legenda itu telah mengarahkan pewarisnya supaya menjual pegangan sebanyak 15% dalam syarikat tersebut dalam tempoh 18 bulan. Tiga hingga lima tahun selepas itu, tambahan 30% hingga 54.9% lagi perlu dijual kepada pembeli yang sama. Sebagai alternatif, pewarisan juga boleh memilih untuk menstrukturkan penyenaraian awam (IPO).
Wasiat itu menetapkan keutamaan pembeli diberikan kepada tiga gergasi global iaitu konglomerat mewah LVMH, syarikat kecantikan L’Oréal, atau pengeluar kaca mata EssilorLuxottica — rakan niaga lama Armani. Pewaris juga diarahkan mempertimbangkan syarikat fesyen dan mewah lain yang mempunyai hubungan komersial dengan jenama tersebut.
Walaupun begitu, Fondazione Giorgio Armani — yayasan yang ditubuhkan oleh mendiang pada 2016 untuk memastikan kelangsungan nilai dan prinsip syarikat — akan kekal memegang sekurang-kurangnya 30% pegangan dalam kumpulan tersebut. “Tanpa mengira struktur korporat yang dipilih, yayasan … tidak akan memegang kurang daripada 30% modal, sekali gus menjadi penjamin tetap terhadap pematuhan prinsip asas pengasas,” jelas jawatankuasa eksekutif syarikat dalam kenyataan rasmi.
Fokus awal yayasan kini adalah melantik Ketua Pegawai Eksekutif baharu. Dalam jangka pendek dan sederhana, kawalan pengurusan akan kekal di tangan keluarga Armani dan pasangannya, Leo Dell’Orco, yang mengetuai pejabat gaya lelaki, dengan sokongan penuh daripada yayasan.
Armani, yang menubuhkan Giorgio Armani SpA bersama mendiang rakan kongsi Sergio Galeotti pada 1970-an, terkenal menolak pelbagai tawaran untuk bergabung dengan konglomerat fesyen utama kerana berpegang teguh kepada nilai kebebasan korporat. Tahun lalu, syarikat itu menjana pendapatan €2.3 bilion (RM11.7 bilion), hasil daripada portfolio yang merangkumi bukan sahaja fesyen, malah hotel, restoran, kelab malam, kosmetik, coklat dan floristri.
Dalam wawancara bersama Financial Times yang diterbitkan hanya beberapa hari sebelum pemergiannya, Armani menjelaskan dengan terperinci bagaimana beliau merancang pewarisan empayar fesyen yang dibinanya selama lebih lima dekad.