SABAH FC TAMATKAN KEMARAU, JULANG TROFI MFL CHALLENGE CUP
Sabah FC akhirnya menamatkan penantian panjang mereka untuk menjulang trofi apabila muncul juara MFL Challenge Cup selepas menewaskan Penang dalam aksi final penuh dramatik di Stadium Likas.
Kedua-dua pasukan turun dengan misi sama selepas terikat 1-1 dalam perlawanan akhir pertama di Stadium Bandaraya pada 4 April lalu.
Sabah mempertaruhkan Fergus Tierney yang kembali mengetuai jentera serangan selepas tamat penggantungan, manakala Penang menerima suntikan semangat dengan kepulangan Dylan Wenzel-Halls.
Seawal babak pertama, Sabah tampil lebih agresif dalam usaha mencari gol pembukaan di hadapan penyokong sendiri.
Peluang terbaik hadir menerusi Jafri Firdaus Chew, namun tandukannya berjaya diselamatkan penjaga gol Penang, Ramadhan Hamid.
Perlawanan terus buntu tanpa jaringan sehingga tamat 120 minit, memaksa penentuan juara ditentukan menerusi sepakan penalti.
Aksi semakin mendebarkan apabila beberapa sepakan gagal disempurnakan, termasuk percubaan Dean Pelekanos, Ernesto Phumipha dan OJ Porteria yang berjaya dinafikan penjaga gol kedua-dua pasukan.
Farhan Roslan akhirnya muncul wira apabila menyempurnakan sepakan penting untuk menghadiahkan Sabah kejuaraan, sekali gus menamatkan kemarau trofi dan memberikan detik manis pertama buat Juan Torres Garrido sebagai ketua jurulatih di peringkat kelab.