‘THE DEVIL WEARS PRADA 2’ TEMUI PENONTON MALAYSIA BERMULA 30 APRIL.
Selepas hampir dua dekad menjadi fenomena global, sekuel filem ikonik yang mendefinisikan sebuah generasi, The Devil Wears Prada 2, secara rasminya akan menemui peminat di Malaysia bermula 30 April 2026. Kehadiran semula naskhah ini amat dinantikan kerana ia bakal menyatukan semula barisan pelakon asal iaitu Meryl Streep, Anne Hathaway, Emily Blunt dan Stanley Tucci di bawah arahan pengarah tersohor, David Frankel.
Sinopsis kali ini membawa penonton mengikuti perjalanan Miranda Priestly yang kini terpaksa mengemudi empayar majalah Runway di tengah-tengah kejatuhan media cetak yang semakin meruncing. Dalam usaha mengekalkan relevansi majalah tersebut, Miranda terpaksa mengambil semula bekas pembantunya, Andy Sachs, yang kini bukan lagi seorang pelatih sebaliknya telah berkembang menjadi seorang profesional yang berpengalaman dalam industrinya.
Keadaan menjadi semakin tegang apabila watak Emily Charlton kini muncul sebagai pesaing utama Miranda. Emily yang dahulunya hanya seorang pembantu kini telah memegang jawatan eksekutif kanan di sebuah jenama mewah antarabangsa yang mengawal dana pengiklanan besar. Pertembungan antara kuasa pengaruh Miranda dan kekuatan kewangan yang dipegang oleh Emily bakal menjadi tunjang utama konflik dalam sekuel ini.
Filem ini turut memaparkan perubahan landskap kewartawanan fesyen yang kini didominasi oleh media digital, pempengaruh (influencer) dan pereka generasi baharu. Berlatarkan kota kosmopolitan New York dan Milan, penonton akan dibawa menyaksikan bagaimana Miranda yang dikenali sebagai seorang yang 'taksub kerjaya' terpaksa berhadapan dengan kesan daripada tindakan masa lalunya sambil cuba mempertahankan takhta di dunia fesyen.
Selain barisan pelakon asal, produksi kali ini turut memperkenalkan barisan watak baharu yang cukup mantap antaranya Kenneth Branagh, Simone Ashley, Justin Theroux dan Lucy Liu. Malah, peminat setia filem pertama pasti teruja dengan kemunculan semula Tracie Thoms dan Tibor Feldman yang akan menghidupkan kembali watak asal mereka sebagai Lily dan Irv bagi melengkapkan nostalgia naskhah ini.
Penulisan skrip oleh Aline Brosh McKenna kali ini dilihat lebih matang dengan menyentuh elemen satira terhadap industri media moden yang mencabar. Dengan klasifikasi tontonan PG-13, filem ini bukan sahaja memfokuskan kepada elemen komedi dan drama, malah memberikan perspektif baharu tentang evolusi hubungan antara majikan dan pekerja selepas tempoh 20 tahun berlalu.
Diterbitkan oleh Wendy Finerman, The Devil Wears Prada 2 dijangka bakal mencetuskan semula kegilaan peminat fesyen dan filem di seluruh negara. Pastikan anda tidak terlepas untuk menyaksikan pertembungan penuh gaya ini di pawagam berhampiran anda.