HAK PENYIARAN PIALA DUNIA 2026: TM DILAPORKAN SEDANG RUNDING KERJASAMA DENGAN RTM

Gambar utama HAK PENYIARAN PIALA DUNIA 2026: TM DILAPORKAN SEDANG RUNDING KERJASAMA DENGAN RTM

Telekom Malaysia (TM) kini muncul sebagai pesaing utama bagi mendapatkan hak penyiaran tempatan untuk kejohanan berprestij Piala Dunia FIFA 2026, ketika teka-teki mengenai penyiar rasmi di Malaysia masih belum terjawab. Platform Unifi TV milik TM dilaporkan sedang dalam perbincangan awal untuk bekerjasama dengan Radio Televisyen Malaysia (RTM) bagi menyiarkan kejohanan bola sepak terbesar dunia itu secara bersama.

Setakat ini, masih belum ada pengesahan rasmi mengenai penyiar tempatan memandangkan pemain industri tradisional seperti Astro juga belum membuat sebarang pengumuman lanjut. Menurut sumber industri, TM sedang menilai kemungkinan untuk memperoleh hak penyiaran tersebut melalui perkongsian kos dengan RTM, memandangkan tempoh rundingan semakin suntuk sebelum kejohanan bermula di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico pada 11 Jun depan.

Bagaimanapun, potensi penglibatan RTM dalam rundingan ini turut menimbulkan persoalan mengenai penggunaan dana awam. Walaupun TM masih dalam fasa penilaian terhadap daya maju perolehan hak penuh, struktur perkongsian termasuk agihan kos antara kedua-dua entiti berkenaan masih belum dimuktamadkan sepenuhnya buat masa ini.

Antara cabaran terbesar dalam rundingan ini adalah nilai hak penyiaran yang ditetapkan oleh FIFA yang dianggap terlalu tinggi bagi pasaran tempatan. Walaupun harga asal dilaporkan telah dikurangkan daripada AS50 juta (RM197.5juta) kepada sekitar AS35 juta (RM138.3 juta), kebanyakan pemain industri tetap bersikap berhati-hati sebelum membuat pelaburan sebesar itu.

Isu pengewangan (monetization) juga menjadi keraguan utama berikutan perbezaan zon masa yang ketara di mana kebanyakan perlawanan dijadualkan berlangsung pada waktu pagi atau lewat petang waktu tempatan. Faktor ini dilihat bakal mengehadkan jumlah tontonan sekali gus menyukarkan pihak penyiar untuk menarik hasil pengiklanan dan penajaan yang mencukupi bagi menampung kos pendahuluan yang tinggi.

Dalam pada itu, Kementerian Belia dan Sukan mengesahkan akan mengadakan perbincangan dengan pihak berkepentingan bagi menangani isu ini demi kepentingan peminat sukan tanah air. Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzi turut menyatakan minggu lalu bahawa perkara berkaitan hak penyiaran kejohanan itu masih belum dibawa ke peringkat Kabinet untuk perbincangan lanjut.