ISU PENGADIL, SELANGOR FC DIBANGKITKAN OLEH TUNKU ISMAIL
DYAM Tunku Ismail Sultan Ibrahim, Pemangku Sultan Johor sekali lagi mencuri perhatian apabila tampil lantang menyuarakan kebimbangan berhubung isu pengadilan dalam bola sepak tempatan ketika sesi meja bulat Malaysian Football League (MFL), Rabu lalu.
Sesi yang menghimpunkan pemegang taruh Liga Malaysia itu pada asalnya bertujuan mencari penyelesaian tuntas terhadap isu kewangan kelab Liga Super, namun turut menjadi platform penting untuk membincangkan isu integriti dan tadbir urus liga.
Tunku Ismail yang juga pemilik Johor Darul Ta’zim (JDT) menggunakan peluang tersebut untuk membangkitkan persoalan serius mengenai kemungkinan wujudnya campur tangan terhadap pengadil.
Menurut baginda, sebarang tindakan menghantar mesej kepada pengadil atau pihak berkaitan bagi mempengaruhi keputusan perlawanan perlu dinilai secara tegas dari sudut undang-undang bola sepak.
“Jika mana-mana pegawai kelab menghantar mesej kepada pengadil atau pengarah pengadilan dan memberi tekanan terhadap sesuatu keputusan, adakah ia boleh dianggap sebagai rasuah atau tidak?” soal baginda, menimbulkan persoalan besar tentang integriti pertandingan.
Dalam masa sama, baginda turut mendedahkan perbualan yang didakwa melibatkan individu dari Selangor FC, yang menurutnya mengandungi unsur tekanan terhadap keputusan pengadil.
“‘Please brother, please brother’… untuk ‘pressure’ apa? Membuat keputusan? Anda tidak boleh campur tangan dalam urusan pengadil,” tegas baginda, memberi peringatan keras kepada semua pihak agar tidak mencampuri tugas rasmi pengadil.
Mengakhiri kenyataannya, Tunku Ismail menegaskan bahawa semua pihak perlu menilai diri sendiri sebelum mempertikaikan integriti pengadil, sambil menekankan bahawa menjaga kredibiliti dan kemajuan bola sepak negara adalah tanggungjawab bersama seluruh ekosistem liga.