MALAYSIA TUMBANG 2-3 KEPADA JEPUN, LOLOS SUKU AKHIR SEBAGAI NAIB JUARA
Pemain profesional negara, Lee Zii Jia menampilkan aksi cemerlang namun tidak cukup untuk mengelakkan Malaysia daripada tewas 2-3 kepada Jepun dalam perlawanan terakhir Kumpulan B Piala Thomas 2026 di Horsens.
Dalam aksi tersebut, Zii Jia menghadiahkan mata kedua buat Malaysia selepas menewaskan pemain ranking ke-20 dunia, Koki Watanabe menerusi kemenangan straight set 21-13, 21-19 dalam tempoh 41 minit.
Kemenangan itu turut menyaksikan Zii Jia menamatkan badi tiga kekalahan berturut-turut kepada pemain Jepun berkenaan, sekali gus memberikan suntikan positif kepada skuad negara.
Namun, Jepun tetap berjaya mengesahkan kemenangan keseluruhan 3-2, sekali gus muncul juara Kumpulan B dan membalas dendam kekalahan kepada Malaysia pada edisi Bangkok 2022 dan Chengdu 2024.
Walaupun tewas, Malaysia tetap mengesahkan kemaraan ke suku akhir selaku naib juara kumpulan hasil dua kemenangan awal ke atas England (3-2) dan Finland (4-1).
Mengulas keputusan itu, Zii Jia mengakui peringkat kalah mati bakal menjadi lebih mencabar dan menuntut kekuatan mental yang tinggi dalam kalangan pemain.
Skuad negara dijadual mengetahui lawan di suku akhir menerusi undian yang berlangsung pada 10.30 pagi waktu tempatan (4.30 petang waktu Malaysia).
Saingan Piala Thomas 2026 berlangsung dari 24 April hingga 3 Mei ini, dengan Malaysia dilihat masih berpeluang untuk mencipta kejutan di peringkat seterusnya.