MFL DEDAH FORMAT PERLAWANAN MUSIM 2026/2027 

Gambar utama MFL DEDAH FORMAT PERLAWANAN MUSIM 2026/2027 

Malaysia Football League (MFL) telah membentangkan pelan kalender pertandingan bagi musim 2026/2027 dalam satu sesi perbincangan meja bulat bersama ketua pegawai eksekutif kelab-kelab tempatan yang berlangsung semalam. 

Pembentangan itu dikendalikan oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Mohd Shazli Shaik Mohd, yang memperincikan hala tuju struktur baharu saingan domestik negara.

Berdasarkan pelan yang dikongsikan, musim 2026/2027 akan menyaksikan lima kejohanan utama dianjurkan sepanjang tempoh Ogos 2026 hingga Mei 2027.

Ia melibatkan Perlawanan Sumbangsih, Liga Super, Piala FA, Piala Malaysia serta MFL Challenge Cup dengan susunan jadual yang lebih tersusun mengikut fasa pertandingan.

Liga Super kekal sebagai tunjang utama saingan dengan penyertaan 14 kelab, melibatkan keseluruhan 182 perlawanan. 

Perlawanan Sumbangsih pula akan membuka tirai musim dengan format satu perlawanan melibatkan dua kelab. 

Ia terus dikekalkan sebagai aksi pembuka tirai yang menemukan juara Liga Super dan pemenang Piala Malaysia musim sebelumnya.

Bagi saingan piala, Piala FA akan berlangsung lebih awal dalam musim dengan penyertaan 16 kelab dan keseluruhan 29 perlawanan. 

Format ini memberi peluang kepada lebih banyak pasukan untuk bersaing dalam sistem kalah mati sebelum tumpuan beralih kepada kejohanan seterusnya.

Piala Malaysia pula dijadualkan berlangsung pada fasa kedua musim, turut melibatkan 16 kelab dengan jumlah 29 perlawanan. 

Sebagai kejohanan paling berprestij dalam bola sepak tempatan, penjadualan ini dilihat memberi ruang kepada kelab untuk lebih bersedia dari segi skuad dan prestasi.

MFL Challenge Cup akan melengkapkan kalendar dengan penyertaan lapan kelab dan 14 perlawanan. Kejohanan ini terus memainkan peranan sebagai platform kompetitif tambahan khususnya kepada pasukan yang berada di luar kelompok utama liga.

Secara keseluruhan, struktur baharu ini mencerminkan usaha MFL untuk menghasilkan musim yang lebih seimbang dan kompetitif.