BURIRAM SELANGKAH KE FINAL, JDT MASIH ADA PELUANG DI THAILAND
Buriram United membawa bekalan selesa menjelang aksi separuh akhir kedua Shopee Cup selepas menewaskan Johor Darul Ta’zim (JDT) 3-1 di Stadium Sultan Ibrahim (SSI).
Kemenangan itu meletakkan wakil Thailand berkenaan dalam posisi terbaik untuk memburu tiket ke pentas final sekali gus menghampiri misi mempertahankan trofi yang dimenangi musim lalu.
Dalam masa sama, JDT kini berdepan tugas sukar apabila perlu memburu kemenangan di Thailand bagi memastikan impian ke final masih bernyawa.
Pertemuan itu turut menghidangkan ulangan persaingan sengit kedua-dua pasukan selepas Buriram pernah menewaskan Harimau Selatan 2-1 dalam aksi Liga Timur Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) pada September tahun lalu.
Buriram terlebih dahulu membuka jaringan menerusi penyerang berbisa mereka, Guilherme Bissoli pada minit ke-34 sebelum Goran Causic menambah kelebihan pelawat menjelang tamat separuh masa pertama.
Dua gol tersebut jelas memberi kelebihan besar buat skuad Thunder Castle yang tampil lebih tenang dan tersusun dalam mengawal tempo permainan sepanjang perlawanan.
JDT bagaimanapun tidak mengalah apabila berjaya merapatkan jurang menerusi sepakan Ager Aketxe pada masa kecederaan, sekali gus menghidupkan kembali harapan penyokong tuan rumah.
Namun, Buriram kembali menjarakkan kedudukan menerusi gol kedua Bissoli pada minit ke-93 untuk memastikan mereka membawa kelebihan dua gol menjelang aksi timbal balik di Thailand pada 13 Mei ini.