RTM, UNIFI TV PENYIAR RASMI PIALA DUNIA 2026 DI MALAYSIA

Gambar utama RTM, UNIFI TV PENYIAR RASMI PIALA DUNIA 2026 DI MALAYSIA

Malaysia rasmi menjadi negara ketujuh di rantau Asia Tenggara yang memperoleh hak penyiaran bagi kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Perkara itu diumumkan Menteri Komunikasi, Fahmi Fadzil, yang mengesahkan Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Unifi TV dilantik sebagai penyiar rasmi kejohanan berprestij tersebut di negara ini.

Menurut Fahmi, keputusan berkenaan dicapai menerusi kerjasama bersama sektor swasta bagi memastikan penyiaran berkualiti tinggi dapat disediakan kepada rakyat Malaysia.

Malah, kerjasama itu juga dijangka memberi capaian lebih meluas kepada peminat bola sepak tempatan untuk mengikuti aksi Piala Dunia 2026 di pelbagai platform.

Selain siaran televisyen biasa, peminat turut boleh menyaksikan perlawanan secara percuma menerusi MyTV selain platform penstriman OTT melalui RTM Klik dan Unifi TV.

Perkembangan itu sekali gus membuka peluang lebih besar kepada penyokong bola sepak tempatan menikmati liputan menyeluruh kejohanan yang bakal berlangsung di Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico itu.

Dalam masa sama, Astro kini dilaporkan sedang mengadakan perbincangan dengan pemegang hak siaran Piala Dunia FIFA 2026 di Malaysia bagi membolehkan kejohanan tersebut disiarkan di semua platform mereka.

Jika dimuktamadkan, ia bakal menambah lagi pilihan kepada penonton tempatan untuk mengikuti setiap aksi melibatkan kejohanan bola sepak paling berprestij dunia itu.