TUJUH NEGARA ASEAN SIAR PIALA DUNIA 2026

Gambar utama TUJUH NEGARA ASEAN SIAR PIALA DUNIA 2026

Sebanyak tujuh negara di rantau Asia Tenggara kini sudah mempunyai penyiar rasmi bagi menayangkan kejohanan Piala Dunia FIFA 2026.

Menurut laporan ASEAN Football, Malaysia menjadi negara terbaharu menyertai senarai tersebut selepas mengumumkan RTM dan Unifi TV sebagai penyiar rasmi kejohanan itu.

Selain Malaysia, Indonesia, Singapura, Vietnam, Kemboja, Filipina dan Timor Leste turut berjaya mendapatkan hak penyiaran untuk Piala Dunia 2026.

Indonesia akan menyiarkan kejohanan berkenaan menerusi TVRI, manakala Singapura dan Vietnam masing-masing menggunakan platform Mediacorp dan Vietnam Television sebagai penyiar rasmi.

Bagi Kemboja pula, hak penyiaran diberikan kepada Hang Meas sementara Filipina menggunakan Aleph Group dan Timor Leste menerusi ETO Telecom.

Perkembangan itu menunjukkan kebanyakan negara ASEAN sudah mula membuat persiapan awal bagi memastikan peminat bola sepak dapat mengikuti kejohanan tersebut secara rasmi di negara masing-masing.

Bagaimanapun, sehingga kini masih terdapat empat negara di rantau ini yang belum mengumumkan penyiar rasmi mereka iaitu Laos, Thailand, Brunei dan Myanmar.

Piala Dunia FIFA 2026 dijangka menjadi antara edisi paling besar dalam sejarah apabila bakal menampilkan 48 pasukan serta berlangsung di tiga negara tuan rumah iaitu Amerika Syarikat, Kanada dan Mexico.