NAFUZI ZAIN SAH KENDALI SKUAD MALAYSIA B-19
Persatuan Bola Sepak Malaysia (FAM) akhirnya menamatkan teka-teki mengenai individu yang bakal mengemudi skuad Malaysia B-19 apabila mengesahkan Nafuzi Zain sebagai ketua jurulatih pasukan itu.
Pengumuman tersebut sekali gus menyaksikan Nafuzi bakal memikul tanggungjawab besar untuk membentuk generasi baharu bola sepak negara menjelang beberapa kejohanan penting selepas ini.
Sebelum ini, kerusi panas skuad Malaysia B-19 menjadi perhatian ramai susulan kekosongan yang ditinggalkan jurulatih dari Sepanyol, Juan Torres Garrido, selepas tamat kempen tahun lalu.
Nama beberapa jurulatih tempatan mula disebut-sebut untuk mengisi posisi berkenaan, lebih-lebih lagi selepas skuad Malaysia B-17 kendalian Shukor Adan berjaya mara ke pentas final Kejuaraan B-17 ASEAN 2026.
Legenda bola sepak negara, Dollah Salleh sebelum ini turut melihat Nafuzi sebagai calon paling sesuai berdasarkan pengalaman luasnya membimbing pemain muda termasuk bersama skuad Malaysia B-23.
Pengendali berusia 47 tahun itu kini sah akan mengetuai cabaran Malaysia dalam Kejuaraan B-19 ASEAN 2026 selepas namanya disenaraikan FAM dalam kenyataan rasmi cabutan undi kejohanan tersebut pada Khamis.
Skuad muda negara diundi dalam Kumpulan B bersama Thailand, Singapura dan Brunei bagi kejohanan yang akan berlangsung di Medan, Indonesia dari 1 hingga 13 Jun ini, selain Nafuzi turut dijangka memainkan peranan penting dalam persiapan kempen kelayakan Piala Asia B-20 2027.