TERENGGANU MARVELS CIPTA SEJARAH, TEWASKAN JOHOR JEWELS
Terengganu Marvels melakar sejarah tersendiri apabila berjaya muncul juara Netball Super League (NSL) 2026 selepas menewaskan Johor Jewels dalam aksi final yang berlangsung penuh dramatik.
Kejayaan itu menyaksikan wakil Pantai Timur tersebut meraih gelaran NSL pertama mereka sekali gus menamatkan saingan musim ini dengan pencapaian cukup membanggakan.
Final berkenaan turut menjadi pentas tumpuan apabila Johor Jewels turun dengan misi menebus kekecewaan selepas pernah dikejutkan Terengganu Marvels ketika aksi pusingan round robin sebelum ini.
Johor Jewels sekali lagi mempertaruhkan pengalaman pemain import berprofil tinggi seperti Gretel Bueta dan Laura Langman untuk mengemudi cabaran pasukan selatan tanah air itu.
Bagaimanapun, Terengganu Marvels tampil lebih tenang dan konsisten menerusi persembahan cemerlang Tendai Masamba bersama Siti Maisarah Affandi yang memainkan peranan penting dalam memastikan pasukan mereka terus berada di landasan terbaik sepanjang perlawanan.
Johor Jewels cuba mengubah momentum permainan pada suku terakhir apabila An Najwa Azizan kembali dimasukkan ke gelanggang bagi memperkuatkan jentera serangan pasukan.
Meskipun Johor Jewels berjaya merapatkan jurang mata pada penghujung aksi, Terengganu Marvels tetap berjaya mempertahankan kelebihan sebelum menamatkan perlawanan dengan kemenangan 70-63.
Selepas menutup kempen NSL dengan gelaran bersejarah, kedua-dua pasukan kini bakal mengalihkan fokus kepada saingan NSL Regional Cup apabila Terengganu Marvels dan Johor Jewels dipilih sebagai wakil Malaysia bagi menghadapi cabaran di pentas serantau.