JDT HAMPIRI SEJARAH DUNIA, SAMAI REKOD 108 AKSI TANPA KALAH
Satu hantaran rasmi dimuat naik di akaun Instagram Johor Darul Ta’zim FC selepas kemenangan besar 14-1 ke atas Kelantan TRW FC yang menyaksikan kelab itu kini menyamai rekod dunia 108 perlawanan liga tanpa kalah.
Menurut perkongsian tersebut, rekod berkenaan sebelum ini dimiliki kelab dari Ivory Coast, ASEC Mimosas, sekali gus meletakkan Harimau Selatan sebaris dengan pencapaian bersejarah itu.
JDT yang kali terakhir tewas dalam saingan Liga Super pada April 2021 terus memperlihatkan dominasi luar biasa dalam bola sepak tempatan apabila menutup musim 2025/2026 tanpa sebarang kekalahan.
Lebih membanggakan, skuad Harimau Selatan kini hanya memerlukan satu lagi perlawanan tanpa kalah untuk mencipta rekod dunia baharu yang dijangka boleh direalisasikan pada aksi pembukaan musim 2026/2027 nanti.
Selain rekod tersebut, JDT turut melengkapkan empat musim berturut-turut tanpa kalah dalam Liga Super sekali gus mengukuhkan status mereka sebagai pasukan paling dominan dalam era moden bola sepak Malaysia.
Pencapaian itu juga menjadikan musim ini sebagai kali keenam JDT menamatkan kempen liga tanpa tewas selepas pernah melakukannya pada musim 2016 dan 2020 sebelum ini.