DPMM FC INTAI SAFAWI RASID
DPMM FC dilihat sudah mula merangka pelan besar mereka bagi menghadapi saingan musim depan apabila meletakkan nama pemain sayap Harimau Malaya, Safawi Rasid sebagai antara sasaran utama.
Kelab dari Brunei itu secara terbuka menyatakan minat mereka menerusi kenyataan rasmi yang dimuat naik di laman sesawang kelab berkenaan, sekali gus memberi bayangan bahawa mereka serius mahu memperkuatkan jentera serangan.
Menurut kenyataan tersebut, pihak pengurusan DPMM bersedia untuk mengadakan rundingan bagi mendapatkan Safawi yang ketika ini beraksi bersama Kuala Lumpur City FC secara pinjaman daripada Johor Darul Ta’zim.
Prestasi cemerlang Safawi musim ini menjadi faktor utama namanya menjadi buruan apabila pemain itu berjaya muncul antara tonggak penting KL City dengan meledak 13 gol setakat ini walaupun saingan liga hanya berbaki satu perlawanan.
Pendedahan itu secara tidak langsung menjawab teka-teki mengenai identiti pemain skuad kebangsaan Malaysia yang sebelum ini dikatakan sedang dipantau DPMM untuk dibawa masuk menghadapi musim baharu.
Sebelum ini, DPMM pernah memberi bayangan mahu membawa masuk beberapa pemain Harimau Malaya, namun pihak kelab tidak mendedahkan secara terperinci siapa pemain yang berada dalam radar mereka.
Selain Safawi, DPMM turut dikatakan berminat mendapatkan khidmat dua lagi pemain KL City iaitu Ryan Lambert dan Declan Lambert yang juga memainkan peranan penting bersama pasukan ibu kota musim ini.
Malah, usaha memperkukuh skuad mereka tidak terhenti di situ apabila DPMM turut dikaitkan dengan bek tengah Junior Eldstal selain kapten Persita Tangerang, Muhammad Toha bagi memperkemaskan benteng pertahanan pasukan.