TIKET THE WEEKND MULA DIJUAL 18 MEI !
The Weeknd rasmi mengumumkan Malaysia sebagai salah satu destinasi bagi fasa terakhir jelajah dunia “After Hours Til Dawn Stadium Tour” yang mencipta pelbagai rekod kehadiran peminat di seluruh dunia. Lebih menarik, Kuala Lumpur turut dipilih sebagai lokasi penutup rasmi bagi keseluruhan siri jelajah mega tersebut.
Konsert yang dinanti-nantikan itu dijadual berlangsung pada 4 November 2026 di Stadium Nasional Bukit Jalil, Kuala Lumpur dengan persembahan bermula pada jam 8.30 malam waktu Malaysia. Acara itu juga bakal menggunakan konsep fully seated bagi memberikan pengalaman lebih selesa kepada para penonton yang hadir.
Pemilik nama sebenar Abel Tesfaye itu sebelum ini mencuri perhatian menerusi pelbagai persembahan berskala besar di Amerika Utara, Eropah dan Asia menerusi jelajah yang mempromosikan album popular seperti After Hours dan Dawn FM. Kehadiran beliau ke Malaysia sekali gus dijangka menjadi antara konsert antarabangsa terbesar pada tahun 2026.
Menambahkan lagi kemeriahan acara, duo hip hop Jepun Creepy Nuts serta DJ terkenal Jepun ¥ØU$UK€ ¥UK1MAT$U akan turut tampil sebagai artis jemputan khas sepanjang malam konsert berkenaan.
Bagi peminat yang mahu mendapatkan tiket lebih awal, sesi Artist Presale akan dibuka pada 18 Mei 2026 bermula jam 10 pagi hingga 11.59 malam. Pendaftaran awal diperlukan menerusi laman rasmi The Weeknd Tour untuk mengakses jualan tersebut.
Selain itu, Maybank Visa Presale pula berlangsung bermula 19 Mei 2026 jam 10 pagi sehingga 20 Mei 2026 jam 10 pagi, sebelum sesi Live Nation Member Presale dibuka pada 20 Mei 2026 dari jam 12 tengah hari hingga 11.59 malam menerusi Live Nation Malaysia.
Pengumuman kehadiran The Weeknd ke Malaysia pastinya menggembirakan peminat tempatan yang sudah lama menantikan peluang menyaksikan persembahan bintang global itu secara langsung di Kuala Lumpur.