PAN-GON BANGGA SELANGOR MARA KE FINAL SHOPEE CUP

Gambar utama PAN-GON BANGGA SELANGOR MARA KE FINAL SHOPEE CUP

Ketua jurulatih Selangor FC, Kim Pan-gon menyifatkan kejayaan mara ke final Kejuaraan Kelab ASEAN Shopee Cup sebagai hadiah paling bermakna daripada barisan pemain sejak beliau mengambil alih pasukan itu awal tahun ini.

Pengendali dari Korea Selatan tersebut meluahkan rasa bangga selepas skuad Gergasi Merah menyingkirkan wakil Vietnam, Nam Định FC menerusi kemenangan agregat 4-1 untuk menempah pertemuan akhir menentang juara bertahan, Buriram United.

Dalam aksi separuh akhir kedua di Stadium Thien Truong, penyerang import Chrigor Moraes muncul wira Selangor apabila meledak dua gol penting yang memastikan impian kelab Malaysia itu terus bernyala di pentas Asia Tenggara.

Menurut Kim, beliau melihat perubahan positif dalam corak permainan Selangor sejak tiba di kelab tersebut dengan pasukan kini semakin memiliki identiti dan DNA tersendiri yang dibentuk secara berperingkat.

Tambahnya lagi, Selangor bukan sahaja tampil agresif ketika menyerang malah memiliki disiplin bertahan yang kukuh selain semangat kerja berpasukan yang tinggi dalam kalangan pemain dan pegawai.

Sejak dilantik sebagai ketua jurulatih pada Januari lalu, Kim berjaya membawa peningkatan besar buat Selangor apabila mencatat 14 kemenangan daripada 20 perlawanan selain hanya mengalami satu kekalahan setakat ini.

Dalam perlawanan itu, Selangor yang membawa bekalan kemenangan 2-1 dari aksi pertama berjaya menambah tekanan ke atas Nam Định menerusi sepakan penalti Chrigor pada minit ke-40 selepas Mitchell Dijks melakukan kekasaran terhadap Mohammad Abdualnadi di dalam kotak penalti.

Nam Định cuba bangkit sepanjang babak kedua namun kegagalan menyempurnakan beberapa peluang selain kesilapan hantaran memberi ruang kepada Selangor melancarkan serangan balas. Chrigor kemudian melengkapkan kemenangan menerusi gol kedua pada penghujung permainan sekali gus menutup peluang wakil Vietnam itu untuk melakukan kebangkitan.