MFL GUNA PENGADIL LUAR NEGARA UNTUK FINAL PIALA MALAYSIA

Gambar utama MFL GUNA PENGADIL LUAR NEGARA UNTUK FINAL PIALA MALAYSIA

Malaysian Football League (MFL) mengesahkan penggunaan pengadil luar negara bagi mengendalikan aksi Final Piala Malaysia 2025-2026 yang dijadual berlangsung di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Presiden MFL, Ab Ghani Hassan berkata, pihaknya sudah mengemukakan permohonan rasmi kepada Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) untuk mendapatkan barisan pengadil antarabangsa terbaik bagi aksi final berprestij edisi ke-99 itu.

Menurut beliau, permohonan tersebut melibatkan empat pengadil luar negara termasuk dua pembantu pengadil serta seorang pengadil VAR bagi memastikan mutu pengadilan berada pada tahap tertinggi sepanjang perlawanan berlangsung.

“Keputusan untuk menggunakan kepakaran pengadil luar negara ini dibuat sebagai langkah untuk memastikan mutu pengadilan berada pada tahap terbaik selain menjamin integriti dan kelancaran perlawanan akhir yang menjadi tumpuan peminat bola sepak tanah air,” katanya.

Tambah Ab Ghani, aksi final Piala Malaysia sememangnya dianggap perlawanan berprofil tinggi dan penggunaan pengadil bertaraf antarabangsa diyakini mampu meningkatkan pengalaman pertandingan buat pemain, pegawai pasukan serta penyokong.

“Malah dengan kehadiran pengadil luar negara ini, ia juga sebagai pertukaran kepakaran di mana pengadil tempatan dapat mempelajari sedikit sebanyak ilmu dalam usaha kita membangunkan kualiti pengadil tempatan,” jelas beliau lagi.

Dalam masa sama, beliau memaklumkan keputusan itu dibuat susulan cadangan yang dibangkitkan ketika sesi Perbincangan MFL Bersama Rakan Kongsi Liga pada 29 April lalu, selain mengakui penggunaan pengadil luar negara memerlukan pertimbangan teliti kerana melibatkan kos yang tinggi.

“Bagaimanapun langkah ini bukanlah sesuatu yang baharu dalam saingan domestik di mana sebelum ini khidmat pengadil dari Jepun pernah digunakan bagi mengadili Final Piala FA 2019 antara Kedah dan Perak,” katanya. Final Piala Malaysia musim ini bakal menemukan juara bertahan Johor Darul Ta’zim dengan Kuching City FC yang pertama kali berjaya melangkah ke pentas final.