VIETNAM WAKIL TUNGGAL ASEAN KE PIALA DUNIA B-17 2026

Gambar utama VIETNAM WAKIL TUNGGAL ASEAN KE PIALA DUNIA B-17 2026

Vietnam muncul sebagai satu-satunya wakil Asia Tenggara yang berjaya mengesahkan tiket ke saingan Piala Dunia B-17 2026 di Qatar selepas mempamerkan aksi konsisten di pentas Piala Asia B-17.

Skuad muda kendalian Cristiano Roland itu memastikan kemaraan ke kejohanan dunia selepas berjaya menempatkan diri dalam kelompok lapan pasukan terbaik Asia sekali gus mengesahkan slot automatik ke Qatar tahun depan.

Dalam kempen peringkat kumpulan, Vietnam diundi bersama Korea Selatan, Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Yemen yang dianggap sebagai antara kumpulan mencabar buat wakil ASEAN tersebut.

Vietnam memulakan saingan dengan langkah positif apabila mencatat kemenangan tipis 1-0 ke atas Yemen sebelum berdepan kekalahan 1-4 di tangan gergasi Asia, Korea Selatan dalam aksi kedua.

Keputusan itu menyaksikan perlawanan terakhir menentang UAE menjadi penentu hidup mati buat Vietnam untuk terus mara ke peringkat kalah mati dan dalam masa sama memburu tiket ke Piala Dunia.

Tekanan tersebut bagaimanapun berjaya diatasi dengan cemerlang apabila Vietnam menundukkan UAE 3-2 dalam aksi dramatik sekali gus melonjak selaku juara Kumpulan C.

Kejayaan mara ke suku akhir secara tidak langsung menghadiahkan Vietnam slot ke Piala Dunia B-17 2026 bersama beberapa lagi kuasa besar bola sepak Asia yang turut layak ke kejohanan tersebut.

Sebagai rekod, Indonesia merupakan wakil tunggal ASEAN pada edisi terdahulu namun gagal melepasi peringkat kumpulan. Piala Dunia B-17 2026 dijadual berlangsung di Qatar bermula 19 November hingga 13 Disember dengan penyertaan 48 negara, manakala Asia bakal diwakili sembilan pasukan termasuk tuan rumah.