KUCHING CITY KUNCI SLOT ACL2, MUNCUL NAIB JUARA LIGA SUPER 2025/26

Gambar utama KUCHING CITY KUNCI SLOT ACL2, MUNCUL NAIB JUARA LIGA SUPER 2025/26

Kuching City FC mengesahkan status mereka sebagai naib juara Liga Super 2025/26 selepas menewaskan KL City FC 1-0 di Stadium Negeri malam ini, sekali gus mengunci slot ke saingan AFC Champions League Two (ACL2) musim hadapan.

Kemenangan itu membolehkan The Cats menamatkan kempen dengan 53 mata daripada 24 perlawanan hasil 16 kemenangan, lima keputusan seri dan hanya tiga kekalahan sepanjang musim ini.

Lebih manis, kejayaan tersebut hadir dalam musim yang cukup cemerlang buat skuad kendalian Aidil Sharin Sahak apabila mereka turut mara ke final Piala Malaysia dan bakal berdepan Johor Darul Ta’zim (JDT) di Stadium Nasional Bukit Jalil pada 23 Mei ini.

Bukan sahaja berjaya menempatkan diri dalam kelompok elit Liga Super, Kuching City juga membuktikan mereka kini bukan lagi sekadar pasukan pelengkap saingan, sebaliknya pencabar sebenar dalam Liga Malaysia.

Kejayaan berganda sebagai naib juara liga dan finalis Piala Malaysia dalam musim yang sama turut mengukuhkan reputasi mereka sebagai antara pasukan paling konsisten musim ini.

Pada masa sama, JDT terus memperagakan dominasi apabila menutup musim dengan rekod hampir sempurna, 23 kemenangan, satu keputusan seri tanpa sebarang kekalahan. Juara Liga Super itu mengumpul 70 mata selain meledak 117 gol sepanjang kempen musim ini.

Sementara itu, Selangor FC yang turut memburu slot ACL2 terpaksa berpuas hati di tangga ketiga walaupun mencatat kemenangan besar 6-0 ke atas PDRM FC di Stadium MBPJ malam ini.

Skuad Gergasi Merah menamatkan musim dengan 52 mata menerusi rekod 16 kemenangan, empat seri dan empat kekalahan. Namun, kemenangan Kuching City ke atas KL City memastikan peluang Selangor untuk mempertahankan status naib juara tertutup sepenuhnya.