SELANGOR FC TERPAKSA LUPAKAN PENTAS ASIA (ACL2)
Selangor FC gagal mempertahankan kedudukan sebagai wakil Malaysia ke pentas Asia musim hadapan apabila sekadar menamatkan kempen Liga Super 2025/26 di tangga ketiga, sekali gus terlepas slot ke saingan AFC Champions League Two (ACL2).
Harapan Gergasi Merah untuk kembali beraksi di pentas Asia musnah selepas Kuching City FC menewaskan Kuala Lumpur City FC (KL City FC) 1-0 dalam aksi terakhir liga di Stadium Negeri malam ini.
Kemenangan itu memastikan Kuching City menamatkan musim sebagai naib juara Liga Super dengan 53 mata, hanya satu mata mengatasi Selangor yang mengumpul 52 mata.
Pada masa sama, Selangor sebenarnya melakukan tugas mereka apabila membelasah PDRM FC 6-0 di Stadium MBPJ. Namun, kemenangan besar itu gagal mengubah kedudukan liga apabila Kuching City turut meraih tiga mata penuh di laman sendiri.
Lebih mengecewakan buat skuad kendalian Tan Cheng Hoe, mereka memasuki musim ini sebagai naib juara liga dan wakil Malaysia ke ACL2 musim lalu, namun gagal mempertahankan pencapaian tersebut meskipun memiliki skuad yang dianggap antara terkuat dalam Liga Super.
Ironinya, pasukan yang merampas slot Asia mereka ialah Kuching City, kelab yang masih baharu di pentas tertinggi Liga Malaysia tetapi berjaya mencipta kejutan besar musim ini.
Bukan sahaja mengatasi Selangor dalam perebutan tempat kedua liga, The Cats turut menyingkirkan Gergasi Merah di separuh akhir Piala Malaysia sebelum mara ke final menentang Johor Darul Ta’zim (JDT) pada 23 Mei ini di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Sementara itu, JDT terus mengukuhkan dominasi bola sepak tempatan apabila menamatkan musim sebagai juara tanpa kalah.
Harimau Selatan membelasah Kelantan The Real Warriors FC (KTRW FC) 14-1 dalam aksi terakhir liga, sekali gus mengesahkan slot ke Liga Juara-Juara AFC Elit (ACLE) musim hadapan.