SYAFIQ AHMAD TIDAK LAGI SARUNG JERSI DPMM FC

Gambar utama SYAFIQ AHMAD TIDAK LAGI SARUNG JERSI DPMM FC

Penyerang kebangsaan, Syafiq Ahmad sah meninggalkan Brunei DPMM FC selepas kontraknya bersama kelab itu tidak disambung untuk musim hadapan.

Perkembangan itu diumumkan sendiri oleh DPMM menerusi satu hantaran rasmi di media sosial kelab selepas tamat saingan Liga Super 2025/26.

Dalam kenyataan sama, wakil Brunei itu turut mengesahkan empat lagi pemain akan meninggalkan pasukan iaitu Jordan Rodrigues, Ibrahim Sulley, Christian Irobiso dan Fairuz Zakaria.

“Terima kasih Jordan Rodrigues, Ibrahim Sulley, Christian Irobiso, Syafiq Ahmad dan Fairuz Zakaria atas setiap detik, setiap perjuangan dan setiap kenangan yang anda berikan kepada kelab musim ini,” menurut kenyataan tersebut.

Syafiq menyertai DPMM pada awal musim ini sebagai antara tonggak baharu di bahagian serangan selepas kelab itu kembali mewarnai saingan Liga Malaysia.

Bagaimanapun, musim pertamanya bersama DPMM tidak begitu menyerlah apabila hanya merekodkan tiga gol serta satu bantuan jaringan daripada 24 penampilan dalam semua pertandingan.

Setakat ini, masa depan bekas pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) itu masih belum diketahui dengan tiada sebarang pengumuman mengenai destinasi baharunya bagi musim depan.