KL CITY PASANG AZAM CABAR DUA TERATAS MUSIM DEPAN

Gambar utama KL CITY PASANG AZAM CABAR DUA TERATAS MUSIM DEPAN

Kuala Lumpur City FC melihat pencapaian musim 2025/26 sebagai langkah awal untuk kembali menjadi pencabar utama Liga Super selepas berjaya menamatkan saingan di kedudukan keempat liga.

Walaupun tidak berjaya mengakhiri kempen dengan kemenangan, skuad The City Boys tetap dianggap mempamerkan peningkatan konsisten sepanjang musim ini.

Penolong jurulatih KL City, Wan Mustafa Wan Ismail berkata, prestasi dipamerkan pemain membuktikan pasukan itu berada di landasan tepat untuk terus berkembang.

Menurutnya, kutipan 37 mata serta kedudukan keempat liga bukan sesuatu yang boleh dipandang rendah memandangkan ia antara pencapaian terbaik kelab dalam tempoh lebih 30 tahun.

Beliau turut percaya kejayaan tersebut mampu menjadi pembakar semangat buat pasukan untuk tampil lebih kompetitif musim depan.

“Mengakhiri musim di tempat keempat adalah satu pencapaian yang cukup baik buat KL City dan saya rasa pemain telah memberikan komitmen terbaik sepanjang musim ini.

“Kami mahu jadikan musim ini sebagai asas untuk terus memperkuatkan pasukan dan cuba memberi cabaran lebih besar kepada pasukan di kedudukan dua teratas musim depan,” katanya menerusi laporan TVS.

Dalam aksi terakhir Liga Super, KL City terlepas peluang menambah tiga mata apabila tunduk 1-0 kepada Kuching City FC, keputusan yang turut menghadiahkan slot Liga Juara-Juara AFC 2 (ACL2) kepada pasukan dari Sarawak itu.