JDT II SAHKAN GELARAN SELEPAS BANGKIT IKAT KELANTAN WTS
Johor Darul Ta’zim (JDT) II membuktikan mentaliti juara apabila bangkit daripada ketinggalan dua gol sebelum mengesahkan kejuaraan Liga A1 Semi-Pro 2025/26.
Skuad muda Harimau Selatan itu memastikan gelaran menjadi milik mereka selepas seri 2-2 menentang Kelantan WTS dalam aksi minggu ke-29 di Kota Bharu.
Keputusan tersebut sudah memadai buat JDT II mengesahkan status selaku juara liga walaupun musim masih berbaki satu perlawanan lagi.
Beraksi di hadapan penyokong sendiri, Kelantan WTS terlebih dahulu memberi tekanan apabila mendahului menerusi jaringan Nazrin Nawi dan Dandy Arbdallah pada babak pertama.
Dua gol itu membolehkan tuan rumah menutup separuh masa pertama dengan kelebihan selesa sambil meletakkan JDT II dalam situasi sukar.
Namun, pasukan pelawat mempamerkan kebangkitan pada separuh masa kedua apabila Danish Hakimi merapatkan jurang pada minit ke-51 sebelum Danish Zahir muncul penyelamat dengan gol penyamaan pada minit ke-76.
Gol tersebut akhirnya menjadi detik paling penting buat JDT II apabila satu mata berjaya diraih untuk mengunci kejuaraan Liga A1 Semi-Pro musim ini.
Selepas 29 perlawanan, JDT II kini mengumpul 62 mata untuk kekal di puncak liga, meninggalkan pencabar terdekat Selangor II dengan kelebihan empat mata.