PENGADIL PIALA MALAYSIA DARI QATAR

Gambar utama PENGADIL PIALA MALAYSIA DARI QATAR

Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) hari ini mengumumkan pelantikan empat pegawai perlawanan dari Qatar bagi mengadili aksi Final Piala Malaysia 2025-2026 antara Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kuching City FC di TM Stadium Nasional, Bukit Jalil pada Sabtu ini.

Pelantikan itu melibatkan Mohammed Ahmed Al Shammari sebagai pengadil utama, dibantu Yousuf Aref Al Shamari dan Khaled Aiad Khalaf selaku penolong pengadil, manakala Meshari Ali Alshamari akan bertugas sebagai pengadil Video Bantuan Pengadil (VAR).

Kesemua mereka merupakan pengadil bertaraf Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) selain memegang status Pengadil Elite Konfederasi Bolasepak Asia (AFC), sekali gus memberi keyakinan terhadap mutu pengadilan bagi aksi final edisi ke-99 itu.

Menurut kenyataan FAM, keempat-empat pegawai berkenaan memiliki pengalaman luas di pentas antarabangsa termasuk pernah mengendalikan kejohanan besar seperti Piala Dunia B-17 FIFA dan Final Qatar Emir Cup.

Pengalaman mengadili perlawanan berintensiti tinggi itu dilihat mampu membantu memastikan kelancaran aksi final yang dijangka berlangsung sengit antara juara bertahan JDT dan Kuching City FC yang mahu mencipta sejarah tersendiri.

FAM menjelaskan pelantikan pengadil luar negara itu dibuat selepas menerima permohonan rasmi daripada Malaysian Football League (MFL) yang mahu memilih pegawai perlawanan terbaik bagi mengendalikan perlawanan berprestij tersebut.

Ini bukan kali pertama badan induk bola sepak negara menggunakan khidmat pengadil luar bagi aksi final domestik apabila sebelum ini FAM pernah membawa masuk pegawai perlawanan dari Jepun untuk Final Shopee Piala FA 2019 antara Perak dan Kedah di venue sama.

Ketika itu, Takuto Okabe dilantik sebagai pengadil utama dengan bantuan Akane Yagi dan Osamu Nomura selaku penolong pengadil.

Dalam masa sama, FAM menegaskan bahawa Final Piala Malaysia sentiasa dianggap sebagai kemuncak bola sepak tempatan dan badan induk itu komited memastikan setiap aspek penganjuran termasuk pengadilan berada pada standard tertinggi.

Langkah membawa masuk pegawai perlawanan berprofil tinggi dari Qatar juga dilihat sebagai usaha memastikan integriti dan kualiti pengadilan terus terpelihara seiring reputasi Piala Malaysia sebagai kejohanan tertua serta paling berprestij dalam landskap bola sepak negara.