“Saya Perlu Bermain”

Gambar utama “Saya Perlu Bermain”

Joao Pedro Lega Dengan Kepercayaan Jurulatih Baharu Chelsea.

Penyerang Chelsea, Joao Pedro, akhirnya menemui semula rentak terbaiknya ketika musim memasuki fasa paling kritikal. Kunci utama kebangkitan itu, menurutnya, adalah kepercayaan, minit permainan dan komunikasi jelas daripada barisan kejurulatihan baharu The Blues.

Bercakap kepada media Brazil, Globo Esporte, Joao Pedro mengakui tekanan semakin terasa memandangkan ini adalah tahun Piala Dunia, ditambah pula dengan pertukaran jurulatih di Stamford Bridge.

“Ini tahun Piala Dunia. Bila ada jurulatih baharu, memang ada kebimbangan,” katanya.


“Saya sebelum ini kerap bermain di bawah Maresca, kemudian berlaku perubahan. Apabila Liam datang, saya antara pemain terawal bercakap dengannya.”

Terus Berterus Terang Dengan Rosenior

Joao Pedro tidak berselindung tentang keutamaannya. Dia mahu bermain dan bermain secara konsisten.

“Saya beritahu dia, ini tahun Piala Dunia dan saya perlu bermain kerana saya wakili Brazil,” jelasnya.

“Dalam pasukan kebangsaan ada ramai pemain hebat. Saya perlukan minit.”

Menurutnya, respon jurulatih baharu Chelsea, Liam Rosenior, amat positif.

“Saya cakap, kalau dia beri minit, saya akan balas di atas padang. Sejak hari pertama, dia beri saya keyakinan.”

Keyakinan Yang Terjemah Kepada Gol

Kepercayaan itu bukan kosong. Sejak Rosenior mengambil alih, Joao Pedro telah menjaringkan lima gol dan satu bantuan gol dalam enam perlawanan - statistik yang cukup mengagumkan.

Lebih manis, dia menjadi watak utama dalam dua kemenangan kebangkitan Chelsea:

“Dalam posisi saya bersama pasukan Brazil, persaingan sangat sengit,” katanya.

“Bila jurulatih percayakan anda, akan ada sesuatu yang ‘lebih’ bila berada di atas padang.”

Malam Magis Liga Juara-Juara

Aksi cemerlang di Itali bersama Chelsea benar-benar menyentuh emosi Joao Pedro, mengimbau impian sejak kecil.

“Impian setiap budak adalah bermain di Liga Juara-Juara,” katanya.

“Bila dengar lagu tema itu dan lihat jersi yang kita pakai, ia beri inspirasi luar biasa.”

Beliau mengakui sebelum ini kurang mendapat kesinambungan dalam kejohanan tersebut, namun peluang yang hadir kali ini dimanfaatkan sepenuhnya.

Sasaran Lebih Besar: Piala Dunia 2026

Keyakinan Joao Pedro tidak terhenti di peringkat kelab. Dia turut mengaitkan prestasi semasa dengan impian menjulang FIFA World Cup.

Stadium MetLife di New Jersey - tempat dia menjaringkan gol dalam final Piala Dunia Kelab bersama Chelsea tahun lalu - juga bakal menjadi gelanggang final Piala Dunia 2026.

“Saya harap boleh angkat trofi Piala Dunia di stadium itu,” katanya.

“Ia sudah jadi sebahagian daripada sejarah hidup saya.”

Masih Lapar Kejayaan

Walaupun sedang berada di prestasi terbaik, Joao Pedro menegaskan dirinya belum puas.

“Saya gembira, tapi belum berpuas hati,” tegasnya.

“Pasukan mengharapkan banyak daripada saya, jurulatih percayakan saya, dan saya perlu terus bekerja keras dengan kaki di bumi.”

Buat masa ini, fokus Joao Pedro jelas - konsisten, dapatkan minit permainan dan beri impak setiap kali diturunkan. Impian besar sudah di hadapan mata, dan bola kini berada di kakinya.