PEMAIN WARISAN, GABRIEL PALMERO MILIK THE CATS
Kuching City FC terus mencuri tumpuan apabila membawa masuk pemain warisan negara, Gabriel Palmero, sebagai tambahan penting dalam perancangan pasukan bagi baki saingan liga.
Pertahanan berusia 24 tahun itu memilih Kuching sebagai destinasi seterusnya dalam karier profesionalnya, sekali gus membuka lembaran baharu selepas melalui tempoh tidak menentu sebelum ini.
Segala teka-teki yang mempersoal kelab baharu Palmero itu akhirnya terjawab apabila The Cats mengesahkan penyertaan beliau menerusi pengumuman rasmi kelab.
Bagi Kuching City, kehadiran Palmero bukan sekadar pelaburan jangka pendek, sebaliknya dilihat sebagai aset bernilai untuk meningkatkan kestabilan dan daya saing skuad dalam liga domestik.
Palmero antara yang terkesan dengan isu penggantungan pemain warisan sebelum ini pastinya lega dengan perjanjian yang telah termeterai secara rasmi bersama The Cats.
Dalam konteks itu, langkah Kuching City membawa masuk Palmero dilihat sebagai situasi saling menguntungkan, apabila kelab mendapat tambahan berkualiti dalam skuad, sementara pemain pula berpeluang memulakan semula kariernya dalam persekitaran yang lebih stabil.
Untuk rekod, Palmero menyertai Kuching City sebagai ejen bebas selepas berpisah dengan kelab lamanya, CD Tenerife, susulan isu penggantungan yang berlaku sebelum ini.