PENANG FC TUNGGU JAWAPAN MFL ISU STATUS PEMAIN KUCHING CITY FC

Gambar utama PENANG FC TUNGGU JAWAPAN MFL ISU STATUS PEMAIN KUCHING CITY FC

Penang FC kini menanti keputusan daripada Malaysian Football League (MFL) selepas mengemukakan aduan berhubung status pemain Kuching City FC dalam aksi Liga Super yang lalu.

Kontroversi timbul apabila pertahanan Filipina, Scott Woods, dilaporkan masuk sebagai pemain gantian walaupun namanya tidak tersenarai dalam skuad perlawanan.

Situasi itu mencetuskan persoalan mengenai pematuhan peraturan oleh Kuching City, lebih-lebih lagi selepas Penang tewas 0-1 hasil jaringan Gabriel Nistelrooy.

Pengurusan Penang menegaskan mereka serius dalam memastikan integriti liga terus terpelihara, sambil menunggu tindakan lanjut daripada pihak MFL.

“Penang FC mengambil maklum isu yang dibangkitkan oleh kelab penyokong di media sosial berhubung dakwaan bahawa Kuching City FC telah menurunkan pemain yang tidak disenaraikan sebagai pemain gantian dalam perlawanan Liga Super Malaysia.

“Pihak kelab telah mengemukakan aduan rasmi kepada MFL dan kini sedang menunggu maklum balas serta tindakan lanjut daripada pihak berkaitan,” menurut kenyataan tersebut.