PROTES DI MFL: TIADA ISU DENGAN STATUS PEMAIN
Baru-baru ini, gempar isu mengenai protes atau dekonstrasi yang dilakukan di hadapan pejabat Malaysian Football League (MFL).
Oleh itu, MFL hari ini mengeluarkan kenyataan dan mengambil maklum tentang tindakan sekumpulan individu tersebut sekaligus menegaskan bahawa walaupun hak untuk bersuara dihormati, sebarang tindakan yang boleh mengganggu ketenteraman awam adalah tidak wajar.
Berkenaan isu yang dibangkitkan, MFL menjelaskan bahawa proses pendaftaran pemain naturalisasi berbeza dengan pemain warisan. Proses pengesahan status dan pendaftaran pemain naturalisasi adalah seperti yang termaktub dalam Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026, Perkara 4.5.9.
Bagi pendaftaran pemain Johor Darul Ta’zim (JDT) iaitu Joao Figueiredo, Jon Irazabal, Hector Hevel, dan pemain Kuching City FC, Gabriel Palmero, semua proses telah mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia.
Keempat-empat pemain didaftarkan sebagai warganegara Malaysia dengan menggunakan kad pengenalan sah yang dikeluarkan Jabatan Pendaftaran Negara (JPN).
Dokumen pendaftaran, termasuk salinan kad pengenalan berwarna atau pasport berwarna, adalah mengikut keperluan Manual Liga Malaysia Edisi 2025-2026 dan surat perkeliling MFL bertarikh 12 Jun 2025 yang mewajibkan semua dokumen dimuat naik dalam format PDF untuk kelulusan.
Seperti yang dinyatakan dalam kenyataan media MFL pada 13 Mac lalu, keempat pemain ini didaftarkan sebagai pemain tempatan, bukan pemain naturalisasi. Figueiredo, Irazabal, dan Hevel didaftarkan oleh JDT pada tempoh pertama pendaftaran pemain (9 Jun-31 Ogos 2025), manakala Palmero, yang ketika itu dibebaskan sementara daripada hukuman penggantungan oleh Mahkamah Timbang Tara Sukan (CAS), didaftarkan oleh Kuching City FC pada tempoh kedua (5 Jan-1 Feb 2026).
Keputusan MFL untuk mengiktiraf pemain berkenaan sebagai pemain tempatan turut diperakui oleh Konfederasi Bolasepak Asia (AFC). Setiausaha Agung AFC, Datuk Seri Windsor Paul John, dalam kenyataan media pada 13 Mac lalu menegaskan bahawa tiada isu berbangkit kerana pendaftaran ini mengikut peraturan pertandingan Liga Malaysia.
MFL menegaskan bahawa semua tindakan dan keputusan diambil bagi memastikan integriti dan kelancaran Liga Malaysia terus terjamin, serta untuk menjaga imej positif bola sepak negara di peringkat antarabangsa.