GERALDES TINGGALKAN LIGA MALAYSIA
Bekas import Liga Malaysia, Francisco Geraldes meneruskan kariernya ke pentas baharu apabila sah menyertai kelab K-League 2, Seoul E-Land FC.
Pengumuman rasmi kelab itu menyaksikan pemain tengah Portugal berusia 30 tahun tersebut menjadi sandaran baharu di bahagian tengah pasukan.
Menurut kenyataan kelab, Geraldes dilihat sebagai pemain yang mampu menambah kreativiti, khususnya dalam mencipta peluang jaringan menerusi hantaran berkualiti.
Selain itu, beliau turut memiliki kelebihan dalam mengawal tempo permainan dan berupaya menjaringkan gol menerusi percubaan jarak jauh.
Sejurus perpindahan dimuktamadkan, Geraldes meluahkan keterujaan untuk memulakan cabaran baharu bersama pasukan itu.
Beliau meletakkan sasaran jelas untuk membantu Seoul E-Land FC memburu kenaikan ke saingan K-League 1 musim depan.
Geraldes juga berjanji akan segera menyesuaikan diri dan menjadi pemain yang boleh diharapkan oleh rakan sepasukan.
Perpindahan ini menyaksikan beliau mengikut jejak beberapa bekas pemain Liga M yang kini beraksi di Korea Selatan seperti Iker Undabarrena dan Yazan Al-Arab.