15 LOKASI SKRIN GERGASI : VIETNAM VS MALAYSIA

Gambar utama 15 LOKASI SKRIN GERGASI : VIETNAM VS MALAYSIA

Sokongan terhadap Harimau Malaya terus diperkasa apabila Kementerian Belia dan Sukan Malaysia (KBS) bersama Jabatan Belia dan Sukan Negara (JBSN) mengambil inisiatif menyediakan tayangan skrin besar di seluruh negara bagi aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027.

Sebanyak 15 lokasi terpilih akan menjadi tumpuan penyokong bola sepak tanah air untuk menyaksikan pertemuan Malaysia menentang Vietnam, sekali gus mewujudkan suasana sokongan beramai-ramai seperti di stadium.

Inisiatif ini dilihat sebagai usaha menyatukan penyokong dalam satu semangat, terutamanya ketika skuad kebangsaan memerlukan sokongan moral selepas berdepan situasi mencabar dalam kempen kelayakan kali ini.

Harimau Malaya yang dibimbing Peter Cklamovski dijadual turun menentang Vietnam di Stadium Thieng Truong, Nam Dinh pada 31 Mac, dalam aksi yang tetap dinanti walaupun keputusan tidak lagi memihak kepada Malaysia.

Sebelum ini, skuad negara disahkan gagal ke pusingan akhir Piala Asia 2027 di Arab Saudi selepas dikenakan pemotongan mata susulan isu dokumentasi pemain warisan, sekali gus menamatkan harapan untuk mara lebih jauh.

Namun begitu, perlawanan ini masih mempunyai nilai tersendiri apabila beberapa muka baharu dijangka diberi peluang untuk membuktikan kemampuan di pentas antarabangsa.

Antara pemain yang berpotensi mencuri tumpuan ialah penjaga gol muda Melaka, Haziq Aiman serta pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT), Feroz Baharudin yang berpeluang menambah minit bersama skuad senior.

Berikut merupakan lokasi tayangan skrin besar yang disediakan di seluruh negara: Dataran Merdeka (Kuala Lumpur), Dataran MPKj @ Stadium Kajang, Kompleks Belia dan Sukan Negeri Sembilan (Paroi), Japerun Ayer Limau (Masjid Tanah), Dataran Mahkota TMIYC (Pasir Gudang), Dewan Terbuka Ngah Sagor (Parit), Kompleks Belia dan Sukan Negeri Kedah (Alor Setar), Padang Kota Lama (George Town), Dataran Sena (Kangar), Kompleks Sukan Air Terengganu (Pulau Duyong), Pantai Batu Hitam (Kuantan), AEON Mall (Kota Bharu), Kompleks Belia dan Sukan Sabah (Putatan), Kompleks Belia dan Sukan Sarawak (Kuching) serta Gelanggang Futsal Hassan Sani di Labuan.