LUAHAN DECLAN LAMBERT UNTUK PERTARUNGAN ESOK
Aksi terakhir Kelayakan Piala Asia 2027 antara Malaysia dan Vietnam bukan lagi sekadar perlawanan penutup kempen, sebaliknya bertukar menjadi pentas maruah buat Harimau Malaya untuk menebus kekecewaan yang melanda.
Pemain pertahanan KL City FC, Declan Lambert melihat pertemuan di Nam Dinh itu sebagai peluang terakhir untuk skuad negara mengangkat semula harga diri di mata penyokong, walaupun peluang ke pusingan akhir sudah tertutup.
Menurutnya, situasi sukar yang dihadapi ketika ini tidak seharusnya melemahkan semangat pasukan, sebaliknya menjadi pembakar motivasi untuk tampil lebih berani menentang Vietnam di gelanggang lawan.
“Walaupun kita sudah tidak layak, ini bukan perlawanan yang boleh dipandang ringan. Ini tentang maruah dan bagaimana kita mahu dikenang sebagai satu pasukan,” jelasnya, menegaskan kepentingan aksi tersebut.
Dalam masa sama, pemain berusia 27 tahun itu tidak menafikan kekecewaan yang dirasai, terutama apabila peluang beraksi di kejohanan besar terlepas begitu sahaja. Namun beliau memilih untuk kekal profesional dan fokus terhadap apa yang masih boleh dicapai.
Lambert turut menekankan kepentingan menjaga tahap kecergasan dan prestasi, apatah lagi dengan persaingan sengit dalam skuad kebangsaan yang menuntut setiap pemain sentiasa berada pada tahap terbaik untuk terus mendapat kepercayaan jurulatih.
Skuad kendalian Peter Cklamovski dijadualkan menentang Vietnam di Stadium Thieng Truong, Nam Dinh esok, dengan misi jelas menutup kempen dengan kemenangan yang mampu mengembalikan keyakinan dan kebanggaan penyokong tanah air.
Untuk rekod, Malaysia sebelum ini disahkan tersingkir daripada saingan selepas dikenakan pemotongan enam mata susulan isu pemalsuan dokumen melibatkan beberapa pemain warisan, sekali gus menamatkan harapan untuk beraksi di pentas Piala Asia 2027 di Arab Saudi.