MALAYSIA SEDIA CABAR VIETNAM
Pengendali Harimau Malaya, Peter Cklamovski menegaskan pasukannya bersedia memberikan cabaran sengit menjelang pertemuan penting menentang Vietnam dalam aksi Kelayakan Piala Asia 2027.
Keyakinan itu disuarakan beliau dalam sidang media praperlawanan yang berlangsung di Nam Dinh, Vietnam, dengan fokus utama terarah kepada kesiapsiagaan skuad negara.
Menurut Cklamovski, beliau menyedari kelebihan jelas memihak kepada Vietnam berdasarkan ranking semasa serta faktor beraksi di laman sendiri.
Namun begitu, situasi tersebut tidak dianggap sebagai halangan, sebaliknya dijadikan pembakar semangat buat barisan pemain Harimau Malaya.
Bekas jurulatih FC Tokyo itu percaya anak buahnya memiliki keupayaan untuk mempamerkan aksi kompetitif apabila turun di Stadium Thien Truong.
“Kita sentiasa membawa mentaliti untuk menang tanpa mengira siapa lawan atau apa jua keadaan termasuk persekitaran.
“Kita lihat ini sebagai peluang untuk membentuk pasukan terbaik dan dalam situasi mencabar, kita mahu bermain bola sepak terbaik kita,” katanya.
Dalam masa sama, beliau turut mengakui Malaysia berdepan rekod kurang memberangsangkan apabila tidak menewaskan Vietnam sejak lebih satu dekad lalu.
Justeru, perlawanan ini disifatkan sebagai peluang terbaik untuk menamatkan penantian tersebut dengan pendekatan permainan yang lebih berani.
Skuad Harimau Malaya dijadualkan berdepan Vietnam pada 31 Mac ini, dengan kemenangan dilihat mampu memberi impak positif terhadap kedudukan ranking FIFA negara.