TANDA TANYA TERJAWAB, IRAQ PASUKAN KE-48 KE PIALA DUNIA

Gambar utama TANDA TANYA TERJAWAB, IRAQ PASUKAN KE-48 KE PIALA DUNIA

Iraq melakar detik bersejarah apabila muncul sebagai pasukan ke-48 dan terakhir layak ke Piala Dunia selepas menewaskan Bolivia 2-1 dalam aksi playoff antara benua di Mexico.

Kemenangan itu mengakhiri penantian panjang Iraq untuk kembali ke pentas tertinggi bola sepak dunia, dengan penampilan terakhir mereka sebelum ini adalah pada edisi 1986.

Lebih manis, kejayaan tersebut hadir dalam keadaan mencabar apabila persiapan pasukan terganggu akibat konflik di Asia Barat, memaksa pemain menempuh perjalanan sukar sebelum tiba ke venue perlawanan.

Situasi itu turut mendorong ketua jurulatih, Graham Arnold memohon penangguhan perlawanan, namun aksi tetap diteruskan seperti dijadualkan.

Walaupun berdepan keletihan, Iraq mempamerkan semangat juang tinggi dan disiplin permainan yang cukup tersusun sepanjang perlawanan.

Mereka bermula dengan yakin dan berjaya mendapatkan kelebihan awal hasil penyudah Ali Al-Hamadi sebelum Bolivia bangkit menyamakan kedudukan menjelang penghujung separuh masa pertama.

Tidak goyah dengan tekanan, Iraq kembali mengatur langkah dalam babak kedua dan sekali lagi mendahului menerusi sentuhan kapten, Aymen Hussein.

Bolivia cuba bangkit untuk mengheret perlawanan ke masa tambahan, namun kekuatan benteng pertahanan Iraq memastikan kedudukan kekal hingga wisel penamat.

Kejayaan ini bukan sahaja menandakan kebangkitan semula Iraq di pentas global, malah membuktikan keupayaan mereka mengatasi cabaran luar padang untuk melakar sejarah baharu bola sepak negara.