CHALLENGE CUP: PELUANG PENANG FC AKHIRI KEMARAU 24 TAHUN
Penang FC berpeluang menamatkan penantian 24 tahun tanpa trofi apabila bakal turun beraksi di pentas final MFL Challenge Cup.
Kali terakhir skuad Harimau Kumbang menjulang kejuaraan adalah pada tahun 2002 menerusi saingan Piala FA, sekali gus menjadikan final kali ini sebagai medan terbaik untuk mengakhiri kemarau panjang itu.
Dalam kejayaan tersebut, pasukan yang dibimbing Irfan Bakti Abu Salim mencipta detik manis apabila menewaskan Perak di pentas akhir.
Penyerang import, Gustavo Romero muncul wira dengan jaringan kemenangan yang memastikan trofi menjadi milik Penang.
Kini, cabaran baharu menanti apabila Penang dijadualkan bertemu Sabah FC dalam aksi final yang berlangsung secara timbal balik.
Perlawanan pertama akan diadakan pada 4 April sebelum aksi kedua pada 19 April yang bakal menentukan pasukan mana muncul juara.
Dengan dua perlawanan menjadi penentu, peluang masih terbuka luas buat Penang untuk mencipta sejarah dan kembali menjulang trofi di pentas domestik.
Segala tumpuan kini terarah kepada aksi final, dengan Harimau Kumbang tekad menggunakan peluang ini sebaik mungkin bagi menamatkan kemarau yang sekian lama menghantui pasukan.