MATTA FAIR 2026 BOLEHKAN PEMINAT DEKATI LEGENDA UNITED & HERO TEMPATAN

Gambar utama MATTA FAIR 2026 BOLEHKAN PEMINAT DEKATI LEGENDA UNITED & HERO TEMPATAN

Kuala Lumpur bakal dihangatkan dengan aktiviti luar biasa hujung minggu ini apabila peminat berpeluang bertemu barisan legenda Manchester United dan wira tempatan dalam satu pengalaman eksklusif di MATTA Fair 2026.

Inisiatif ini digerakkan oleh Malaysia Airlines yang tampil dengan pendekatan luar biasa, bukan sekadar promosi pelancongan, tetapi menggabungkan elemen hiburan sukan bagi menarik kehadiran pengunjung dari 3 hingga 5 April.

Tarikan utama pastinya kemunculan tiga nama besar The Red Devils iaitu Andy Cole, Gary Neville dan Wes Brown yang bakal turun padang menyantuni peminat dalam sesi ramah mesra eksklusif.

Lebih menarik, pengunjung bukan sahaja boleh bergambar dan berinteraksi, malah berpeluang memenangi pelbagai hadiah menerusi cabaran interaktif yang disediakan di reruai Malaysia Airlines.

Bagi yang ingin bertemu legenda United, sesi akan berlangsung pada 3 April dari jam 1.30 petang hingga 2.00 petang, diikuti hari kedua pada 4 April dari jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari.

Kemuncak hari kedua diteruskan dengan kehadiran pemain Johor Darul Ta’zim FC yang akan bersama peminat dari jam 12.00 tengah hari hingga 12.30 tengah hari, menjadikan reruai itu tumpuan utama peminat bola sepak tempatan.

Tidak terhenti di situ, giliran skuad Harimau Malaya pula mengambil pentas pada 5 April dari jam 11.30 pagi hingga 12.00 tengah hari, memberi peluang peminat bertemu barisan pemain kebangsaan secara lebih dekat.

Menambahkan lagi kemeriahan, ikon berbasikal trek negara, Azizulhasni Awang turut dijadualkan hadir pada 4 April, sekali gus menjadikan acara ini bukan sekadar tentang bola sepak, tetapi perayaan sukan secara keseluruhan.