SELANGOR FC, KUCHING CITY FC KONGSI MATA SAMA
Selangor FC mengelak kekalahan di laman sendiri selepas mengikat Kuching City FC 1-1 dalam aksi separuh akhir pertama Piala Malaysia 2025–2026 di Stadium Majlis Bandaraya Petaling Jaya.
Kuching City tampil berani sejak awal dengan gandingan Ronald Ngah Wanja dan Gabriel Nistelrooy mengetuai jentera serangan untuk menekan kubu tuan rumah.
Selangor pula mempertaruhkan ketangkasan penjaga gol, Kalamullah Al-Hafiz, yang beberapa kali menjadi benteng terakhir menafikan percubaan berbahaya pelawat.
Usaha Kuching akhirnya membuahkan hasil menjelang tamat separuh masa pertama apabila Ronald Ngah Wanja dijatuhkan oleh Safuwan Baharudin dalam kotak penalti.
Penyerang import itu tenang menyempurnakan sepakan penalti pada minit ke-42 untuk meletakkan Kuching City di hadapan, sekali gus menutup babak pertama dengan kelebihan 1-0.
Memasuki separuh masa kedua, Selangor meningkatkan tempo permainan dalam usaha memburu gol penyamaan di hadapan penyokong sendiri.
Tekanan berterusan akhirnya membuahkan hasil pada saat-saat akhir perlawanan apabila Chrigor Moraes muncul wira dengan jaringan penyamaan yang menggegarkan stadium.
Keputusan 1-1 itu memastikan kedua-dua pasukan masih mempunyai peluang seimbang menjelang aksi timbal balik di Stadium Negeri pada 18 April ini, yang bakal menjadi penentu slot ke final.