SPEKULASI INTER MIAMI BURU SALAH TIDAK BENAR
Spekulasi mengenai kemungkinan gandingan mega antara Mohamed Salah dan Lionel Messi nampaknya tidak menjadi kenyataan dalam masa terdekat.
Laporan terbaru mendedahkan bahawa Inter Miami CF ketika ini tidak merancang untuk mendapatkan khidmat bintang Mesir itu, walaupun beliau dijangka meninggalkan Liverpool FC pada musim panas ini.
Pengumuman mengejut Salah mengenai masa depannya mencetuskan pelbagai spekulasi tentang destinasi seterusnya, dengan nama beliau kuat dikaitkan ke Liga Amerika Syarikat (MLS) dan juga Liga Pro Arab Saudi.
Dua liga tersebut dilihat sedang “berebut” untuk mendapatkan pemain berusia 33 tahun itu, yang masih dianggap antara bakat generasi terbaik bola sepak dunia ketika ini.
Walaupun MLS tidak mampu menandingi tawaran lumayan dari Timur Tengah, liga itu semakin menjadi destinasi pilihan pemain berprofil tinggi, terutama mereka yang berada di fasa akhir karier seperti Messi yang kini menjadi wajah utama liga tersebut.
Pesuruhjaya MLS, Don Garber, turut mengakui beliau teruja dengan kemungkinan melihat Salah beraksi di Amerika Syarikat.
Menurutnya, Salah adalah antara pemain terbaik dalam sejarah Premier League dan kehadirannya pasti memberi impak besar kepada MLS.
Namun begitu, di sebalik khabar angin yang mengaitkan Salah dengan Inter Miami lebih-lebih lagi dengan kehadiran Messi, pakar perpindahan terkenal Fabrizio Romano mengesahkan bahawa kelab tersebut tidak sedang mengusahakan sebarang rundingan buat masa ini.
Ini bermakna, idea untuk melihat dua ikon bola sepak dunia itu bergandingan dalam satu pasukan kekal sebagai sekadar spekulasi sekurang-kurangnya buat waktu ini.