GERRARD RINDU DIAZ, MAHU KEMBALI KE ANFIELD
Legenda Liverpool FC, Steven Gerrard, mengakui beliau merindui kehadiran Luis Diaz dan berharap pemain sayap itu kembali memperkuatkan pasukan.
Diaz meninggalkan Liverpool pada musim panas lalu dengan nilai perpindahan sekitar £65.5 juta ke Bayern Munich selepas gagal mencapai persetujuan kontrak baharu.
Sejak menyertai kelab Jerman itu, Diaz tampil cemerlang apabila merekodkan 40 pembabitan gol dalam 39 perlawanan, selain membentuk gandingan serangan tajam bersama Harry Kane dan Michael Olise.
Pemain Colombia itu turut mencuri tumpuan apabila meledak gol dalam aksi suku akhir pertama UEFA Champions League menentang Real Madrid.
Dalam masa sama, Liverpool bergelut musim ini di bawah kendalian Arne Slot selepas gagal mencari pengganti setimpal di posisi sayap kiri sejak pemergian Diaz.
Gerrard secara terbuka menyuarakan hasrat untuk melihat pemain itu kembali ke Anfield.
“Saya tidak kisah jika Diaz kembali. Saya merinduinya, saya benar-benar merinduinya,” kata Gerrard.
Beliau turut memuji Olise yang dikaitkan sebagai pengganti Mohamed Salah, sambil menegaskan pemain itu memiliki kelebihan luar biasa dalam situasi satu lawan satu.
Dalam perkembangan sama, Bayern menegaskan mereka tidak bercadang melepaskan Diaz walaupun terdapat minat daripada Liverpool dan Real Madrid, dengan kelab itu menganggapnya sebagai aset penting pasukan.