RAYUAN DITOLAK, LEICESTER CITY DI AMBANG KEJATUHAN

Gambar utama RAYUAN DITOLAK, LEICESTER CITY DI AMBANG KEJATUHAN

Leicester City menerima tamparan hebat apabila rayuan terhadap pemotongan enam mata ditolak, sekali gus meletakkan mereka di ambang tersingkir ke divisyen ketiga bola sepak England.

Hanya sedekad selepas mencipta sensasi menjuarai Premier League musim 2015/16, The Foxes kini bergelut di tangga bawahan EFL Championship.

Ketika ini, Leicester berada di kelompok tiga terbawah, hanya ketinggalan satu mata daripada zon selamat dengan lima perlawanan terakhir yang bakal menentukan nasib mereka musim ini.

Dalam kenyataan rasmi, kelab itu menegaskan fokus kini sepenuhnya terarah kepada baki perlawanan, dengan tekad untuk menentukan masa depan mereka di atas padang.

“Tanggungjawab kini adalah memastikan setiap perlawanan dihadapi dengan fokus dan kesungguhan seperti yang diperlukan dalam situasi semasa,” menurut kenyataan tersebut.

Prestasi semasa jelas membimbangkan apabila Leicester hanya meraih satu kemenangan daripada 12 perlawanan terakhir dalam semua pertandingan.

Situasi itu diburukkan lagi selepas komisen bebas mendapati kelab berkenaan melanggar peraturan keuntungan dan kelestarian bagi tempoh kewangan sehingga musim 2023/24.

Sepanjang tiga musim dari 2021/22 hingga 2023/24, Leicester dilaporkan mengalami kerugian melebihi £200 juta, sekali gus membawa kepada hukuman pemotongan mata yang kini sah selepas rayuan ditolak.