CAF NAFI RASUAH, KEPUTUSAN TARIK GELARAN SENEGAL CETUS KONTROVERSI
Presiden Konfederasi Bolasepak Afrika, Patrice Motsepe menolak dakwaan rasuah yang dilemparkan oleh kerajaan Senegal susulan keputusan kontroversi badan itu menarik balik kejuaraan Piala Negara-Negara Afrika daripada negara berkenaan dan menganugerahkannya kepada Morocco.
Motsepe menegaskan bahawa CAF tidak mempunyai apa-apa untuk disembunyikan dan bersedia berdepan sebarang tindakan undang-undang, malah mengalu-alukan mana-mana pihak yang mahu membawa perkara itu ke muka pengadilan.
Menurutnya, badan induk bola sepak Afrika itu menghormati kedaulatan sistem kehakiman di kesemua negara anggota dan akan mematuhi sebarang keputusan yang dibuat oleh Court of Arbitration for Sport sekiranya kes tersebut dibawa ke peringkat berkenaan.
Kontroversi ini tercetus selepas CAF membuat keputusan mengejut membatalkan kemenangan 1-0 Senegal ke atas Morocco dalam aksi final Piala Negara-Negara Afrika pada 18 Januari lalu.
Badan itu kemudian menganugerahkan kemenangan 3-0 kepada Morocco pada 17 Mac dengan merujuk kepada peraturan berkaitan tindakan meninggalkan padang oleh sesebuah pasukan.
Insiden tersebut berlaku apabila pemain Senegal bersama ketua jurulatih, Pape Thiaw serta barisan kejurulatihan bertindak keluar padang di Rabat selepas Morocco dihadiahkan sepakan penalti pada masa kecederaan.
Situasi menjadi lebih tegang apabila sepakan penalti yang diambil oleh penyerang Morocco, Brahim Diaz gagal disempurnakan, namun keputusan pengadil tetap mencetuskan rasa tidak puas hati sehingga membawa kepada tindakan drastik pasukan Senegal.
Susulan itu, Persekutuan Bola Sepak Senegal telah mengemukakan rayuan rasmi kepada CAS bagi mencabar keputusan CAF dalam usaha mendapatkan semula kejuaraan tersebut.
Keputusan berkenaan turut mencetuskan kemarahan kerajaan Senegal yang menuntut siasatan antarabangsa terhadap dakwaan rasuah dalam badan itu, sekali gus meningkatkan tekanan terhadap CAF.
Dalam masa sama, Motsepe memberi jaminan bahawa CAF akan terus berpegang kepada prinsip ketelusan dan integriti, sambil menegaskan bahawa segala keputusan akan dibuat berdasarkan undang-undang serta proses yang adil.